X

Kindly register in order to view this article
!

Syarikat, tiga pengarah didakwa langgar syarat lesen kedai bebas cukai

Empat individu termasuk tiga pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu atas gagal mengikut syarat lesen kedai bebas cukai.
A
A

PENGKALAN HULU - Sebuah syarikat dan tiga pengarahnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu di sini pada Khamis atas 600 pertuduhan gagal mengikut syarat lesen kedai bebas cukai, enam tahun lalu.

Tertuduh, Seruntun Maju Sdn Bhd; pengarahnya, Ahmad Zubir Khalid, 61; Ong Bok Siong, 62, dan Mohd Radzuan Abdullah, 55, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Seorang lagi tertuduh, Lean Choon Hock, 43, yang juga pengurus syarikat terbabit bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa telah gagal mengikut syarat lesen terhadap resit jualan iaitu setiap rekod resit jualan perlu mengandungi nama penuh, nombor dokumen perjalanan dan nombor kenderaan mengikut kehendak Perintah Tetap Kastam Bil 55.

Mereka sebagai orang yang menjalankan perniagaan bebas cukai di bawah Akta Kastam 1967 didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Bebas Cukai Pengkalan Hulu pada 9 September 2015.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 65D Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 138 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak, Dr Mohamad Saprin bersama S Morgan, Nur Izyani Ismail dan Lokman Ripin.

Kesemua tertuduh pula diwakili peguam Louis Liaw Vern Xien.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas syarikat dan pengarah terlibat.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan kehadiran Choon Hock.

Prosiding di hadapan Norhidayati itu bermula jam 11.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 8 malam.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!