Tolak pengguguran 4 syarat lesen Lynas didakwa tak ikut data, fakta

Kerajaan menolak rayuan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan AELB. Gambar kecil: Andansura
Kerajaan menolak rayuan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan AELB. Gambar kecil: Andansura
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tindakan kerajaan menolak rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) didakwa tidak berdasarkan kepada data dan fakta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu mendakwa, sebaliknya keputusan itu dibuat kerajaan berdasarkan kepada persepsi, emosi serta bermotifkan politik.

Justeru, beliau meminta agar kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempertimbangkan semula keputusan terbabit dengan menyemak kepada data dan fakta tepat berhubung pengoperasian Lynas.

"Beri keadilan kepada Lynas, mereka sudah lama membawa perniagaan di sini (melabur) dan hampir RM3 bilion (nilai pelaburan), keputusan yang diambil (oleh MOSTI) beri kesan kepada pelabur lain serta keyakinan mereka terjejas.

"Kalau betul Lynas boleh mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan, kita setuju tindakan diambil. Namun setakat 12 tahun (Lynas) beroperasi tidak ada (satu pun kes). Data boleh diteliti di beberapa laman sesawang JAS (Jabatan Alam Sekitar) ada, AELB dan kesihatan kerana ia disiarkan secara umum.

"Malah, pekerja mereka (Lynas) tiada seorang pun yang sakit terkesan daripada (aktiviti) yang mereka jalankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pada Jamuan Aidilfitri Keluarga Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota pada malam Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Pada 8 Mei lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang bersetuju melanjutkan tempoh operasi 'cracking and leaching' (C&L) Lynas sehingga 31 Disember selepas mengambil kira kesan keputusan terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.

Ini bermakna mulai 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.

Sebelum ini, AELB menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan sisa Water Leach Purification (WLP) selepas Julai 2023, aktiviti C&L di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri mendakwa penolakan itu dibuat kerana kerajaan tidak mahu melihat kepada fakta dan data sebelum ini.

"Kita lihat seorang ini keputusan MOSTI hanya kepada cerita (kisah) 15 tahun dulu, banyak persepsi yang dibawa (pada ketika itu).

"Jadi, seorang kita perlu tukar perkara (persepsi) ini dengan melihat data dan fakta pengoperasian Lynas sepanjang 12 tahun," katanya.

Dalam pada itu, Andansura bersetuju Lynas mematuhi syarat ketat yang ditetapkan pijak berkaitan.

"Malah, soal keselamatan ini tidak boleh dikompromi dan tidak boleh diambil ringan, kalau betul operasi ini mencemarkan dan menjejaskan kesihatan dan sebagainya, kita bersetuju tindakan diambil," katanya.