Muhyiddin perlu beri maklum balas titah Agong: Mahfuz

Mahfuz (tiga dari kiri) bersama penerima sumbangan keperluan sekolah di pasar raya Econsave Pokok Sena pada Khamis.
Mahfuz (tiga dari kiri) bersama penerima sumbangan keperluan sekolah di pasar raya Econsave Pokok Sena pada Khamis.
A
A
A

POKOK SENA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberikan maklum balas terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat dengan menasihati Seri Paduka Baginda berhubung tarikh persidangan Parlimen.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, titah Yang di-Pertuan Agong pada Rabu bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai perlu disegerakan oleh kerajaan.

Menurutnya, pembukaan banyak sektor termasuk persekolahan tidak lama lagi menyaksikan sidang Parlimen juga boleh dipanggil dalam masa terdekat ini.

"Titah Agong jelas menampakkan bahawa darurat sudah tidak diperlukan di negara ini. Isu-isu kesihatan berkaitan Covid-19 boleh ditangani menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Parlimen sudah boleh bersidang selain pembukaan pasar malam, pasar tani serta sekolah.

"Jadi apa perlunya pelaksanaan darurat yang dikatakan dilaksanakan demi kesihatan" katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan keperluan sekolah di pasar raya Econsave Pokok Sena pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, tindakan kerajaan sebelum ini telah menimbulkan persoalan kerana menyatakan bahawa Parlimen tidak boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.