Sasar kutip RM150,000 beli 150 gajet

Nor Azrina (kanan) turut serta menyertai Program Cuci & Derma di D'Brilliant Auto Spa bagi mengutip dana bagi pembelian peranti bagi golongan B40.
Nor Azrina (kanan) turut serta menyertai Program Cuci & Derma di D'Brilliant Auto Spa bagi mengutip dana bagi pembelian peranti bagi golongan B40.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok menyasarkan kutipan sebanyak RM150,000 bagi menyediakan 150 peranti kepada golongan sasar, sehingga 1 Mac depan.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, sebanyak 150 alat peranti akan diagihkan kepada 25 mahasiswa, 75 pelajar sekolah menengah dan 50 murid sekolah rendah di kawasan Parlimen Merbok.

Menurutnya, keperluan gajet adalah satu keutamaan pada ketika ini sekurang-kurangnya satu alat peranti sama ada komputer riba atau telefon pintar bagi sebuah keluarga.

"Saya juga dapat permintaan dari pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bagi memenuhi keperluan pembelajaran mereka khususnya golongan B40.

"Pada ketika ini, kita boleh katakan bahawa gajet adalah satu keperluan dalam tempoh Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) terutamanya bagi pelajar sekolah menengah dan peringkat IPT.

"Biarpun diketahui bahawa pembelajaran di sekolah akan bermula Mac ini, namun keadaan masih tidak menentu, jadi kita bimbang mereka yang terjejas akan terus ketinggalan dalam pembelajaran," katanya yang telah merancang program itu sejak Januari lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Cuci & Derma di D'Brilliant Auto Spa, Bandar Laguna Merbok pada Isnin yang mana sumbangan daripada aktiviti cuci kereta itu akan dimasukkan ke dalam dana pembelian alat peranti.

Orang ramai yang ingin turut serta menyumbang, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat bernombor 020-1000-5599-712 atas nama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok.

Artikel Berkaitan: