Sambut Ramadan jejak rumah baru

Eddin Syazlee (tengah) dan Mahamad Farizan bersama Zulzilah selepas selesai majlis penyerahan rumah Baiti Jannati TNB di Kampung Ghalib, Sungai Jelutong,Kuala Pilah.
Eddin Syazlee (tengah) dan Mahamad Farizan bersama Zulzilah selepas selesai majlis penyerahan rumah Baiti Jannati TNB di Kampung Ghalib, Sungai Jelutong,Kuala Pilah.
A
A
A

KUALA PILAH - Kedatangan Ramadan kali ini bakal disambut lebih meriah oleh seorang warga emas bersama dua anaknya selepas dapat menjejakkan kaki ke rumah baharu mereka di Kampung Ghalib, Sungai Jelutong.

Zulzilah Abdul Radzi, 62, berkata, rumah yang dibina melalui Tanggungjawab Sosial Korporat, projek Baiti Jannati oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu merupakan hadiah sempena menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal.

Katanya, sebelum ini dia bersama dua anaknya yang berumur 21 dan 19 tahun menumpang di rumah abangnya juga di kampung yang sama selama dua tahun.

" Sebelum ini saya menyewa rumah di pekan Juasseh dan hanya bekerja bagai penoreh getah untuk menyara keluarga.

"Bagaimanapun selepas saya disahkan menghidap kanser limfoma pada tahun 2017 dan perlu membuat rawatan susulan menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja dan mengambil keputusan menumpang di rumah abang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ringkas penyerahan rumah Baiti Jannati oleh TNB yang disampaikan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya.

Hadir sama, Ketua Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Peruncitan TNB Negeri Sembilan, Mahamad Farizan Mahamad.

Zulzilah juga lega dan teruja kerana dapat memiliki rumah sendiri yang diimpikan sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

"Bukan mudah untuk saya memiliki rumah sendiri tambahan pula tidak bekerja dan disahkan menghidap kanser. Saya mengharapkan bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM250 sebulan," katanya.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata, kediaman Zulzilah antara sembilan buah rumah yang dibina menerusi projek itu di Negeri Sembilan oleh TNB pada tahun ini.

"TNB juga sudah mengenal pasti sebuah lagi rumah yang bakal dibina di Parlimen Kuala Pilah iaitu di Kampung Jerejak," katanya.