Sebar maklumat palsu, MDKS lapor SKMM

MDKS menafikan penyebaran gambar satu papan tanda palsu (kiri) yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
MDKS menafikan penyebaran gambar satu papan tanda palsu (kiri) yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran gambar satu papan tanda tertulis perkataan 'Awas! anda akan berhadapan dengan penguat kuasa tidak berpakaian' yang tular di Facebook pada Selasa.

Menerusi kenyataan MDKS, laporan kepada SKMM dibuat pada Khamis dan berharap tindakan lebih tegas dapat diambil kepada pelaku yang menyebarkan gambar palsu tersebut.

Kata kenyataan itu, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu sehingga menjejaskan imej MDKS.

"Penyebaran gambar satu papan tanda MDKS yang diubah kenyataannya itu mula disedari pada 24 Jun 2015 dan satu kenyataan penafian telah disiarkan oleh MDKS pada 27 Jun 2015.

"Bagaimanapun pada Selasa, terdapat pengguna media sosial yang masih menyebarkan maklumat palsu tersebut," katanya menerusi satu kenyataan medianya pada Khamis.

Kenyataan itu menjelaskan, kenyataan tepat pada papan tanda yang dipasang di Jalan Melor 1, Saujana Utama, itu tertulis perkataan ‘Awas! Anda akan berhadapan dengan penguat kuasa tidak berpakaian seragam’.

Katanya, pemasangan papan tanda itu dibuat bagi mengesan mereka yang masih berdegil membuang sampah di tanah rizab kerajaan dan bahu jalan.

"Semua pengguna laman sosial diharap lebih bertanggungjawab dan tidak mengubah sebarang kenyataan di papan tanda MDKS serta menyebarkannya di laman sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, seorang pemilik akaun memuat naik status dan gambar papan tanda MDKS tertera perkataan 'Awas! anda akan berhadapan dengan penguatkuasa tidak berpakaian' hingga tular di Facebook dan mendapat pelbagai reaksi netizen.