X

Kindly register in order to view this article
!

Kebebasan media musuh rasuah

Kebebasan media bukan musuh rakyat tetapi musuh rasuah.
A
A

LEBIH daripada sogok-menyogok, rasuah (corruption) dalam erti yang meluas meliputi segala penyalahgunaan kuasa awam untuk kepentingan peribadi. Apa yang dikira penyalahgunaan kuasa awam itu, lain-lain mengikut masyarakat dan zaman.

Dalam tamadun Islam, Khalifah Umar Abdul Aziz (TM 682-720) meninggalkan penanda aras yang sangat tinggi. Baginda memakai lampu kerajaan untuk baca dokumen kerajaan dan lampu peribadi untuk baca dokumen peribadi.

Di Jerman, wakil rakyat tidak dibenarkan untuk menikmati point 'penumpang kerap’ daripada lawatan rasmi. Mereka yang melanggar peraturan itu akan ditegur Parlimen dan diarah untuk membayar kos penerbangan.

Namun, pada tahun 2002, terdapat juga seorang menteri negeri Berlin, Gregor Gysi yang terus meletak jawatan kerana tak tahan rasa bersalah.

Bagaimana jika pemimpin politik memang tiada keutuhan langsung sampai tak tahu rasa bersalah atau malu?

Terdapat empat cara. Minggu lalu kita telah bincangkan cara pertama, hukuman yang berkesan dengan kewujudan badan pendakwa raya dan badan kehakiman yang bebas dan tidak memihak.

Cara kedua, Singapura antara pengamalnya, membayar gaji yang tinggi kepada pemimpin politik dan pegawai kerajaan.

Cara ketiga dan keempat berkaitan dengan kuasa kerajaan serta masyarakat dan penghayatannya boleh dimulakan dengan pepatah Melayu yang menjelaskan sebab musabab rasuah.

Orang Melayu dahulu kala membela burung pegar untuk menghapuskan serangga perosak dan menjaga padi tetapi burung pegar ini bagaikan pemimpin kerajaan yang pecah amanah, suka makan padi di bawah jagaannya.

Cara ketiga itu adalah minimumkan kuasa kerajaan supaya pegawai tiada peluang untuk memerah rakyat. Jika petani dapat mengatasi masalah perosak tanpa bergantung kepada pegar, maka masalah pegar hilang.

Pendokong 'kerajaan kecil’ menaruh harapan mereka pada pasaran atau masyarakat di mana kerjasama antara manusia dicapai secara sukarela tanpa campur tangan kerajaan.

Cara keempat, bagaikan pasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau sang pegar. Semakin banyak atau semakin kuat pegar, maka semakin canggih CCTV diperlukan.

Analogi CCTV itu bukan lain bukan tidak adalah media. Mula penghujung kurun-18, akhbar di Barat dapat gelaran 'kuasa keempat’ di sisi tiga kuasa yang lain dalam Parlimen: bangsawan, ulama Kristian dan rakyat biasa.

Edmund Burke, ahli Parlimen dan pemikir England memberikan gelaran itu kepada wartawan di galeri akhbar dalam Parlimen kerana melalui medialah, rakyat dapat tahu gerak geri pemimpin politik dan seterusnya bertindak sama ada dengan sokongan atau hukuman.

Tidak hairanlah jika kita lihat negara-negara Eropah Barat yang bersih mempunyai kebebasan media yang tinggi.

Sebaliknya, nyawa wartawan boleh terancam di negara-negara Eropah Timur dan Selatan yang masih dilanda rasuah.

Pada 2017 sehingga 2019, wartawan-wartawan ini telah gugur melawan rasuah dan jenayah – Dimitri Popkov, Nikholay Andrushchenko (Russia), Daphene Caruana Galizia (Malta), Jan Kuciak (Slovakia), Victoria Marinova (Bulgaria) dan Vadym Komarov (Ukraine).

Apabila kita cuba melawan sang pegar yang memakan padi, sudah pasti sang pegar akan menghasut kita untuk takut dan benci dengan CCTV.

Ingatlah sesungguhnya, kebebasan media bukan musuh rakyat tetapi musuh rasuah.

Simpan murai dengan kasih,

Sangkar digantung galah canggah,

Rakyat cermat pemimpin bersih,

Pena bebas rasuah dicegah.

* Prof Wong Chin Huat ([email protected]) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!