Dalang sindiket penculikan mati ditembak

Polis menembak mati dua warga asing dipercayai dalang kes penculikan.
A
A

KAJANG - Dua lelaki dipercayai dalang utama sindiket penculikan membabitkan warga asing sekitar Lembah Klang ditembak mati dalam kejadian di Taman Mudun, Batu 9, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.35 pagi, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9 Kuala Lumpur menyerbu rumah terbabit hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, dipercayai rumah tersebut dijadikan tempat untuk suspek menyembunyikan mangsa.

"Ketika serbuan, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan.

"Bagi mempertahankan diri, polis telah melepaskan tembakan ke arah suspek yang juga merupakan warga Bangladesh," katanya.

Mazlan berkata, dalam kejadian itu, polis telah berjaya menyelamatkan seorang mangsa warga Bangladesh berusia linkungan 30-an yang dilaporkan diculik di Jalan Ipoh pada 8 Februari lalu.

Suspek dipercayai telah meminta wang tebusan RM200,000 daripada keluarga mangsa yang berada di Bangladesh.

Katanya, sepucuk pistol jenis semi auto dan sebilah parang yang digunakan suspek telah dirampas di lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati dua suspek ini terlibat dalam 13 kes penculikan warga Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur membabitkan wang tebusan mencecah RM2.5 juta," katanya.

Susulan itu, JSJ Bukit Aman telah berjaya memberkas dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an disyaki terbabit dalam sindiket penculikan. Polis turut merampas sebuah Perodua Alza dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayahnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Yusman Ab Ghani di talian 011-23128387 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584/585.