Hakisan pantai resahkan penduduk Kempadang

Hakisan berlaku di Kampung Pantai Kempadang, Kuantan pada Januari lalu.
Hakisan berlaku di Kampung Pantai Kempadang, Kuantan pada Januari lalu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Masalah hakisan pantai yang berlaku di sekitar daerah ini meresahkan penduduk kerana kediaman dan restoran mengalami kerosakan akibat ombak kuat.

Rata-rata penduduk di kawasan Pantai Kempadang, di sini mendakwa setiap tahun mereka berdepan dengan masalah sama, namun pada kali ini hakisan agak teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kempadang, Saaban Awang, 60, berkata, beberapa meter kawasan pantai akan terhakis ke dalam laut akibat ombak besar pada setiap tahun.

Saaban Awang
Saaban Awang

"Kali ini hakisan pantai paling teruk berlaku terutamanya selepas banjir selepas kehadiran ombak besar dan banyak tebing di kawasan berhampiran terhakis.

"Kita faham fenomena ini biasa, tetapi ia perlu ditangani oleh kerajaan, kita bimbang kalau berlarutan ia akan menjadi lebih parah dan kemungkinan pembangunan berhampiran boleh mengalami kerosakan teruk," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, kawasan yang paling terjejas teruk ialah tempat nelayan menaikkan bot, kedai makan, restoran dan pejabat JKKK berhampiran.

"Kita mahu selesaikan masalah itu dengan membina tambak batu di kawasan yang terjejas akibat hakisan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesan hakisan di Kampung Pantai Kempadang, Kuantan.
Kesan hakisan di Kampung Pantai Kempadang, Kuantan.

Bagi penduduk, Mohd Azmin Abdul Razak, 33, pantai yang sebelum ini terkenal dengan keindahannya hanya tinggal kenangan kerana masalah hakisan pantai dan fenomena ombak besar.

“Sekarang pengunjung yang datang hanya melihat kesan hakisan pada pantai kerana ia sudah tidak selamat untuk aktiviti terutama mandi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Samad Muda, 56, berkata, bukan sahaja di Pantai Kempadang mengalami masalah itu, tetapi di sepanjang persisiran pantai di Pahang.

"Setakat ini belum ada rumah atau kedai yang terjejas teruk akibat hakisan pantai, tetapi kita tidak mahu kalau ia dibiarkan ia menjadi parah.

"Jadi, kita mahu kerajaan cuba mencari jalan penyelesaian bagi masalah hakisan ini terutamanya bila menghadapi air pasang besar yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja," katanya.