'Jangan kerana skor dan gred, mahasiswa ketepikan nilai moral'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Normahfuzah Ahmad
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Normahfuzah Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan mahasiswa bakal berdepan masalah keruntuhan akhlak dan etika jika terlibat dalam rasuah semasa menuntut ilmu di universiti.

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Normahfuzah Ahmad berkata, tidak dinafikan mungkin terdapat segelintir mahasiswa terlibat dengan gejala negatif itu misalnya faktor memenuhi keperluan skor atau gred tinggi dalam subjek mata pelajaran.

Menurutnya, tindakan itu tidak sejajar dengan Dasar Pendidikan Negara yang bermatlamat mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin dalam kalangan pelajar, tidak kira dari peringkat sekolah sehingga peringkat universiti.

“Golongan mahasiswa harus menjadi individu berakhlak mulia supaya negara mampu melahirkan generasi yang berkualiti di masa hadapan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau turut bersetuju dengan artikel Rasuah Busters sebelumnya bahawa pendedahan awal mengenai rasuah perlu bermula di peringkat sekolah dan ia merupakan satu cadangan yang baik, namun perlu mengambil kira tahap pemahaman setiap murid tentang isu tersebut.

Selain itu, beliau yang juga memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Rasuah Busters Peringkat Negeri Kedah mengulas berkenaan usaha yang perlu dilakukan bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan mahasiswa IPT.

Ujarnya, program kesedaran mengenai rasuah perlu diperhebat dari masa ke masa dan mahasiswa harus didedahkan dengan kesan buruk yang akan terjadi sekiranya rasuah dibiasakan atau berleluasa antara mereka.

Beliau turut mengulas bahawa pelajar harus didedahkan dengan pembacaan kajian kes, dalam dan luar negara misalnya di Kosovo.

“Ketiadaan peraturan peralihan formal dalam pentadbiran di Kosovo telah menyebabkan rasuah berlaku dalam pentadbiran tanah, serta memburukkan lagi ketegangan etnik dan diskriminasi negara tersebut,” ujar beliau dalam kenyataan sama.