MB Terengganu minta maaf

Status yang dimuat naik seorang pengguna laman sosial yang tular.
A
A

KUALA TERENGGANU - "Saya minta maaf atas kekurangan layanan dan akan memperbaiki kualiti perkhidmatan agensi kerajaan," demikian kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status seorang pengguna laman sosial Facebook yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu perkhidmatan sebuah agensi kerajaan negeri, semalam.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan dan akan menyiasat perkara itu.

"Kita akan berusaha meningkatkan mutu kualiti kakitangan yang bertugas di kaunter perkhidmatan pelanggan.

"Saya dah maklumkan perkara ini kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya) supaya kualiti perkhidmatan dipertingkatkan di seluruh kaunter servis di Terengganu," katanya.

Menurutnya, langkah awal di peringkat pentadbiran dilakukan termasuk memberi teguran.

"Kita juga akan memperincikan kaedah yang bakal dilaksana termasuk kursus tatacara layanan," katanya.

Semalam, seorang pengguna laman sosial meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap mutu perkhidmatan diberikan agensi kerajaan negeri ini sehingga tular.