X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan Abdul Azeez batal tuduhan rasuah 12 Mac

Abdul Azeez Abdul Rahim
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 12 Mac depan untuk keputusan permohonan membatalkan tuduhan dan membebaskan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tuduhan kes rasuah serta pengubahan wang haram.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Ketika prosiding, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez berkata, pihak pembelaan memohon agar Abdul Azeez dilepas dan dibebaskan dan kesemua pertuduhan dibatalkan.

Amer Hamzah berkata, ia mengambil kira pertuduhan yang dikenakan ke atas Abdul Azeez adalah cacat, tidak berasas dan berniat jahat (mala fide).

Menurutnya, pertuduhan berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah itu, berniat untuk merosakkan reputasi anak guamnya selaku ahli Parlimen.

"Tiada satupun elemen pertuduhan yang dirangka terhadap tertuduh dikaitkan dengan Tabung Haji, sedangkan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada awalnya adalah melibatkan penyelewengan wang.

"Intipati pertuduhan berkaitan empat projek berasingan yang dikemukakan terhadap tertuduh sepatutnya diasingkan dalam pertuduhan berlainan bukannya dirangkum dalam pertuduhan pertama kes rasuah," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa, ia tidak wajar dilayan dan perlu ditolak kerana pada peringkat ini, ia bersifat pramatang.

Aslinda berkata, ia seolah-olah mahkamah selesai mendengar keterangan daripada semua saksi pada akhir kes pendakwaan.

"Sedangkan ketika ini, perbicaraan masih berlangsung dan baru sahaja melibatkan keterangan daripada lima saksi," katanya.

Abdul Azeez, 54, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek berkenaan serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!