X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia Airlines bakal terima suntikan RM3.6 bilion

A
A

KHAZANAH Nasional Berhad bakal memberikan suntikan sebanyak RM3.6 bilion kepada syarikat induk Malaysia Airlines Berhad, Malaysia Aviation Group (MAG) bagi menampung kos syarikat berkenaan sepanjang tempoh penyusunan semula sehingga tahun 2025.

MAG dalam satu kenyataan memaklumkan, Khazanah Nasional sudah menyatakan komitmen berkenaan menerusi rangka program penyusunan semula itu.

Menurutnya, ia berikutan Mahkamah Tinggi United Kingdom (UK) bersetuju dengan skim pengaturan di bawah bahagian 26 Akta Syarikat UK 2006, antara entiti penyewaan MAG, MAB Leasing Ltd dan sebahagian besar pesawat MAG yang beroperasi sebagai pemajak pada Isnin.

“Skim ini juga mewakili penstrukturan semula lebih luas yang akan membantu mengurangkan liabiliti syarikat melebihi RM15 bilion.

“Kerja-kerja penyusunan semula kewangan ini dijangka selesai pada awal Mac ini melibatkan semua pihak berkepentingan MAG bagi mencapai perjanjian dua hala bersama pemberi pinjaman lain seperti pembiayaan dan pengeluar pesawat,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pada itu, MAG berkata, elemen utama penyusunan semula itu termasuklah pemotongan sistem rangkaian, penjimatan kos struktur, pemulihan tunai dan inisiatif penangguhan pembayaran.

“Ini diterjemahkan kepada sejumlah RM5.5 bilion pada tahun 2020 dan sasaran sebanyak RM397 juta untuk suku pertama 2021,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail pula, visi jangka panjang MAG adalah untuk menjadikan syarikatnya tersebut sebagai kumpulan pelancongan global yang terkemuka.

Katanya, pihaknya turut mengembangkan penglibatan MAG ke dalam produk dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan perjalanan di luar penerbangan.

“Ini dapat membantu pelanggan melengkapkan pengalaman perjalanan mereka dari satu tempat ke satu tempat.

“Selain kedudukan geografi dan pengiktirafan anugerah, keistimewaan Malaysian Hospitality (MH) juga sedikit sebanyak dapat membantu mempelbagaikan aliran pendapatan dengan meminimumkan keperluan untuk bergantung kepada industri perjalanan udara yang sangat kompetitif,” katanya.

Pada awal Oktober lalu, Malaysia Airlines telah melaksanakan penstrukturan dan penyusunan semula operasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan mengkaji Rancangan Perniagaan Jangka Panjang (LTPB).

Malaysia Airlines menjelaskan, ia dilaksanakan bagi memastikan kesesuaian dan kelangsungan kumpulan yang terkesan oleh penularan Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!