X

Kindly register in order to view this article
!

Ahmad Fadhli urus persekolahan dua daripada lima beradik miskin

Ahmad Fadhli membantu satu daripada dua beradik berkenaan memilih kelengkapan sekolah.
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bersedia menguruskan semula kemasukan sekolah dua daripada lima beradik yang berdepan kesempitan hidup di Kampung Binjal Pulau, Kubang Terap di sini.

Perkara tersebut dimaklumkan melalui akaun Facebook miliknya selain berkongsi gambar beliau bersama kanak-kanak tersebut sedang membeli barangan keperluan sekolah.

"Alhamdulillah, kelengkapan persekolahan telah diuruskan dan saya akan minta pegawai saya mendapatkan buku teks memandangkan ini pendaftaran baharu dan agak sukar untuk pihak sekolah menyediakan buku teks di bawah Skim Pinjaman Buku Teks kepada pelajar baharu.

"Sememangnya ada kelemahan di pihak berwajib untuk mengesan kes ini memandangkan ketiadaan ibu bapa kepada kanak-kanak ini hanya berlaku lebih kurang seminggu yang lalu. Semoga ada sinar masa depan yang cerah untuk kanak-kanak yang berpotensi ini," katanya.

Menurutnya, beliau dan penghulu serta pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas telah meninjau kes tersebut selepas ia mula tular di media sosial.

"Sekarang ini, JKM akan memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak ini dalam masa terdekat.

"Datuk dan nenek kepada kanak-kanak ini akan kembali ke kampung halaman mereka di Pasir Puteh tidak lama lagi dan tidak akan meneruskan penjagaan seperti sekarang, katanya.

Menurutnya, beberapa individu berdekatan telah dilantik secara rasmi sebagai penjaga bagi pihak JKM.

"Mereka akan bertindak sebagai penjaga dalam tempoh percubaan selama sebulan

"Mereka ini juga akan mendapat elaun khas diperuntukkan bagi menjaga adik-beradik berkenaan," katanya.

Katanya, mereka yang mahu membantu adik-beradik berkenaan boleh menghubungi penghulu tempatan atau jiran-jiran terdekat yang dipertanggungjawabkan untuk bertindak sebagai penjaga.

"Mereka juga boleh jadikan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah turun padang sebelum ini sebagai perantara untuk menghulurkan bantuan.

"Pejabat saya juga bersedia untuk dihubungi untuk menyalurkan sebarang bentuk sumbangan yang boleh membantu mereka dengan menghubungi kami di talian 09-7902000," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!