Polis siasat Steven Gan, Charles Santiago

No Image Caption
A
A
A

KUALA MUDA - Polis akan membuka kertas siasatan ke atas Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung komen yang dibuat berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan akan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang individu yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Gurun, Kedah pada Ahad.

"Polis menerima dua laporan berasingan daripada individu sama masing-masing terhadap Steven Gan dan Charles Santiago di Balai Polis Gurun, Kedah.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda RM500,000 selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Mahkamah memerintahkan Mkini Dotcom membayar denda itu dalam tempoh tiga hari bermula Isnin.

Keputusan Mkini Dotcom bersalah menghina mahkamah dicapai menerusi majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang, diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf.

Keputusan majoriti dibuat oleh Rohana, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh; Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, manakala Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

Artikel Berkaitan:

Rohana berkata, mahkamah mendapati pertuduhan mempermudahkan penerbitan komen pembaca terhadap Mkini Dotcom telah dibuktikan, justeru memutuskan syarikat tersebut bersalah menghina mahkamah.

Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel yang diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk 'CJ orders all courts to be fully operational from July 1' yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysiakini didenda RM500,000 kerana hina mahkamah