Henti bernostalgia, parti Melayu mustahil menang jika solo

Ibrahim yakin tiada sebuah parti Melayu, termasuk UMNO, yang mampu memenangi PRU15 jika bergerak secara solo. (Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.)
Ibrahim yakin tiada sebuah parti Melayu, termasuk UMNO, yang mampu memenangi PRU15 jika bergerak secara solo. (Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.)
A
A
A

SHAH ALAM - Semua parti Melayu perlu berhenti bernostalgia kononnya mereka boleh bergerak sendirian dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Penasihat Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata, berdasarkan landskap politik semasa, pihaknya memberi jaminan tiada sebuah parti Melayu, termasuk UMNO, yang mampu memenangi PRU15 jika bergerak secara solo.

Menurutnya, sekiranya pemimpin utama parti-parti Melayu di negara ini masih bernostalgia dengan keagungan silam, beliau bimbang bukan sahaja seluruh negara akan mengalami kerugian, bahkan generasi masa hadapan kaum Melayu yang akan kehilangan kuasa.

"Saya tidak faham pemimpin parti-parti Melayu yang langsung tidak memikirkan kepentingan negara dan generasi masa hadapan. Mereka cukup ego, suka bernostalgia dengan keagungan silam.

"Saya faham salah satu masalah besar dalam menjayakan penyatuan parti-parti Melayu adalah isu pembahagian kerusi pilihan raya.

"Tetapi, kalau kita terus berasa kuat dan mempertahankan ego kononnya kerusi ditandingi adalah kerusi tradisi, saya jamin parti-parti Melayu akan bermasalah besar pada PRU15," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Komersil Seksyen 7 di sini.

Ibrahim (tengah) menyerahkan sumbangan Yayasan Minda kepada salah seorang penerima bantuan sambil diiringi Sara (kanan) di Pusat Komersil Seksyen 7, Shah Alam pada Sabtu.
Ibrahim (tengah) menyerahkan sumbangan Yayasan Minda kepada salah seorang penerima bantuan sambil diiringi Sara (kanan) di Pusat Komersil Seksyen 7, Shah Alam pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan, kerusi roda dan tablet pembelajaran kepada lebih 40 pelajar sekolah, golongan oprang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan itu disampaikan Ibrahim yang juga Pengerusi Yayasan Minda sambil diiringi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy.

Mengenai teka-teki ketetapan yang akan dibuat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO susulan satu mesyuarat diadakan di Janda Baik, Pahang pada Jumaat malam, Ibrahim yang pernah menjadi ahli MKT UMNO mengharapkan kepimpinan parti itu membuat penilaian terbaik.

Jelas beliau, UMNO tidak boleh sesuka hati menendang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada konsensus perpaduan Melayu kerana parti kerajaan itu sebenarnya mempunyai peranan tersendiri yang unik.

"Kena ingat, kalau Bersatu tidak menjemput UMNO dan Pas membentuk kerajaan baharu sewaktu keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu, minta maaf cakap, UMNO masih melukut di tepi gantang dan tiada kuasa ketika ini.

"Semua pemimpin parti Melayu kena sedar, sekiranya tiada perpaduan Melayu Islam terjalin, maka usaha perpaduan dengan kaum lain juga mustahil tercapai. Bagaimana kaum lain hendak hormat kita kalau kit sendiri berpecah?

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan UMNO telah membuat keputusan untuk memanggil mesyuarat MKT bagi memutuskan sama ada mereka akan meneruskan kerjasama politik dengan Bersatu atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.

Sumber-sumber memberitahu Sinar Harian, UMNO mahu MKT, sebagai badan kerja tertinggi parti membuat keputusan itu kerana usul yang dibawa oleh persidangan perwakilan bahagian yang selesai bersidang tahun lalu tidak dapat dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ekoran perintah darurat.

Selain teka-teki status kerjasama UMNO dengan Bersatu, tumpuan rakyat juga terarah kepada persoalan sama ada Pas mahu terus bersama parti itu dalam memperkasakan Muafakat Nasional (MN).

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan di tangan MKT UMNO

MKT UMNO 'tutup mulut'