X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga beradik kembar terpaksa sewa bilik

Dari kiri: Mohd Aziq, Mohd Afiq dan Mohd Aliff bersyukur dibantu pihak sekolah dan guru bagi menghadapi SPM 2020.
A
A

PONTIAN - Tiga beradik kembar yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bersyukur kerana mendapat bantuan daripada guru dan pihak sekolah bagi menghadapi peperiksaan itu pada 22 Februari depan.

Mohd Afiq Hairuddin, Mohd Aziq dan Mohd Aliff yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian kini tinggal di sebuah bilik sewa yang dibayar pihak sekolah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan Covid-19 pada tahun lepas.

Mohd Afiq berkata, selepas ayahnya meninggal dunia akibat penyakit asma 15 tahun lalu, tanggungjawab membesarkan mereka tiga beradik digalas ibunya, Khatijah Moden, 47 yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang di Ulu Tiram.

“Selepas PKP dilaksanakan pada tahun lepas, ibu berdepan masalah pengangkutan untuk ke tempat kerja. Kami terpaksa berpindah ke Pekan Nanas untuk memudahkannya menaiki van kilang ke Ulu Tiram.

“Disebabkan kami bertiga hendak SPM, ibu bimbang kami keciciran dan berdepan masalah jika berpindah ke sekolah baharu. Jadi kami bertiga jumpa guru kaunseling sekolah beritahu kami tidak mahu pindah sekolah,” katanya.

Dari kiri, Mohd Aziq dan Mohd Aliff mengambil bahan pembelajaran yang disediakan guru di pondok kawalan keselamatan di SMK Sri Perhentian.
Dari kiri, Mohd Aziq dan Mohd Aliff mengambil bahan pembelajaran yang disediakan guru di pondok kawalan keselamatan di SMK Sri Perhentian.

Mohd Afiq memberitahu, pihak sekolah seterusnya berbincang dengan ibunya dan bersetuju membenarkan mereka bertiga terus belajar di sekolah tersebut selain turut membantu mencari sebuah bilik sewa berdekatan sekolah.

“Syukur cikgu sangat memahami dan bantu kami bertiga. Malah, cikgu turut menyediakan bahan pembelajaran kepada kami selain bantu menggunakan aplikasi bagi kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

“Setiap hari cikgu tanya khabar dan sediakan makanan. Walaupun sekolah kerap ditutup berikutan penularan Covid-19 tetapi saya tidak keciciran kerana cikgu-cikgu sering bantu beri tunjuk ajar,” katanya.

Mohd Afiq berkata, mereka tidak berputus asa dan sentiasa berfikiran positif untuk berjaya demi membantu ibunya memberi kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

“Memang gementar hendak hadapi peperiksaan SPM ini, memandangkan sesi persekolahan kerap ditangguh akibat penularan Covid-19 pada tahun lepas.

“Tetapi kami bersyukur kerana cikgu- cikgu menyediakan bahan pembelajaran malah ada cikgu yang menghantarnya kepada kami di rumah. Kami berharap berjaya dalam peperiksaan SPM nanti dan melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!