10 taman perumahan di Temerloh dikenakan PKPD

 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 10 taman perumahan di sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok (21 Februari) hingga 6 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, taman perumahan yang terlibat ialah Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh, Taman Jaya 7, Taman Jaya 2, Taman Jaya 3, Taman Jaya 4, Taman Kelisa dan Desa Bangau.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak yang hingga kini sebanyak 72 kes telah dilaporkan melibatkan penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan menamatkan PKPD di Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang hari ini, lima hari lebih awal daripada tarikh dijadualkan tamat iaitu pada 25 Februari.

Sehingga kini, katanya KKM telah melaksanakan 287 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes positif telah direkodkan di lokaliti tersebut.

Sementara itu, memperincikan mengenai jumlah tangkapan ingkar arahan PKP, Ismail Sabri berkata, seramai 461 lagi individu ditahan.

Bagi Op Benteng, 11 pendatang asing tanpa izin dan tiga tekong ditahan selain rampasan lapan kenderaan darat. - Bernama

Artikel Berkaitan: