X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Kes rasuah Guan Eng, isteri disebut semula 28 Mei

Lim Guan Eng (depan, kiri) dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng.
A
A

BUTTERWORTH - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; isterinya, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas peguam RSN Rayer yang mewakili Guan Eng dan isteri serta A Ruben Kumar yang mewakili Li Koon memohon masa selama tiga bulan kepada mahkamah bagi meneliti dokumen setebal lebih 1,000 muka surat sebelum menasihati anak guam masing-masing, ketika kes tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes pada Jumaat.

Ketika prosiding pada Jumaat, pihak tertuduh turut memaklumkan bercadang membuat permohonan interlokutori.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syafiq Hasim dan Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah mereka tidak membantah permohonan tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh tidak hadir di mahkamah kerana mendapat pengecualian kehadiran.

Pada 11 Ogos lalu, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Guan Eng dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar di George Town, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Li Koon pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Guan Eng dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.

Chew didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Oktober 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 September 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Guan Eng, 60, Chew, 56, dan Li Koon, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!