Contohi flat HDB di Singapura

80 peratus rakyat Singapura tinggal di kawasan perumahan awam yang dibina oleh sebuah badan yang dikenali sebagai Housing Development Board (HDB). - Foto 123RF
80 peratus rakyat Singapura tinggal di kawasan perumahan awam yang dibina oleh sebuah badan yang dikenali sebagai Housing Development Board (HDB). - Foto 123RF
A
A
A

BEBERAPA hari lalu, Sinar Harian mengangkat isu flat kotor di Pulau Pinang sebagai tajuk utama laporannya.

Dalam laporan itu, penduduk seolah-olah imun dengan persekitaran menjijikkan kerana isu yang membelenggu penghuni di flat tersebut sudah sekian lama berlarutan.

Kononnya, ia berpunca daripada mentaliti segelintir penduduk yang tidak dapat diubah walaupun pelbagai kempen kebersihan dan gotong-royong dilakukan.

Sebenarnya perkara itu boleh dielakkan jika penghuni mempunyai kesedaran tinggi tentang isu kebersihan, hidup bermasyarakat dan mematuhi garis panduan ditetapkan pihak pengurusan atau persatuan penduduk setempat.

Jika dibandingkan dengan Singapura yang memiliki banyak flat atau pangsapuri, jarang sekali timbul isu kebersihan seperti di Flat Teluk Indah di Perai. Kenapa rakyat Singapura boleh mematuhi peraturan yang ditetapkan?

80 peratus rakyat Singapura tinggal di kawasan perumahan awam yang dibina oleh sebuah badan yang dikenali sebagai Housing Development Board (HDB), manakala 20 peratus lagi tinggal di kawasan perumahan swasta yang lebih mahal harganya.

Penghuni flat HDB perlu mematuhi garis panduan atau peraturan yang telah ditetapkan oleh HDB, antaranya peraturan untuk pindah masuk, peraturan memiliki binatang peliharaan seperti kucing dan anjing.

Pihak HDB juga menetapkan garis panduan hidup kejiranan kepada semua penghuni perumahan awam seperti adanya peraturan agar tidak membuat bising antara jam 10.30 malam hingga 7 pagi.

Artikel Berkaitan:

Setiap rumah juga disediakan pelongsor sampah, penghuni tidak perlu membawa keluar sampah ke tempat pembuangan sebaliknya sampah dibuang menerusi kemudahan tersebut.

Banyak lagi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan kepada semua penghuni flat HDB tidak mengira agama atau bangsa.

Jika ada yang tidak mematuhinya, denda dikenakan dan pihak berwajib tidak bertolak ansur untuk mengambil tindakan.

Jadi, rasanya tidak salah pihak berwajib di Malaysia meniru sikap lantang pengurusan HDB yang tegas bagi memastikan garis panduan atau peraturan yang ditetapkan dipatuhi.