X

Kindly register in order to view this article
!

Terkilan rundingan KDA FC ditamatkan tanpa penjelasan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A

ALOR SETAR - Dua syarikat tempatan, Go Auto dan Flumen Holdings Sdn Bhd yang berhasrat memiliki 80 peratus saham Darul Aman FC (DFC) terkilan dengan keputusan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor yang menamatkan rundingan penswastaan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Pengerusi Eksekutif Flumen Holdings Sdn Bhd, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman berkata, kenyataan Muhammad Sanusi didakwa mengelirukan selain tidak memberi gambaran sebenar apa yang berlaku.

Menurutnya, kenyataan tersebut turut mencalar imej syarikat diasaskannya termasuk dirinya secara peribadi.

“Muhammad Sanusi sendiri maklum tentang permohonan tanah bagi mendirikan kilang automotif di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) berkeluasan 121.406 hektar di Sungai Petani sebagai sebahagian pakej pengambilalihan KDA FC, di mana kombinasi bisnes dan sukan akan membolehkan bola sepak Kedah bertahan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Shaizuan berkata, permohonan tanah itu bukan secara percuma atau pada kadar murah, sebaliknya diperincikan kaedah pembayaran yang memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak.

“Kos projek ini boleh menjangkau RM240 juta selama 10 tahun, impak pelaburan sebesar ini sudah tentu boleh mencipta banyak peluang pekerjaan, perniagaan baharu selain memantapkan bola sepak Kedah.

"Semua pihak perlu berjiwa besar memastikan penswastaan KDA FC berjaya, adakah sesiapa sanggup buat kerja gila melabur dalam bola sepak di tengah-tengah pandemik Covid-19?” soalnya.

Menurutnya, pada awalnya kedua-dua pihak bersedia berbincang mengenai harga, lokasi dan cara bayaran, selain tiada rungutan daripada kerajaan negeri berkaitan permohonan tidak munasabah, sehingga pengumuman pada Rabu.

Muhammad Sanusi mengumumkan penamatan rundingan itu terpaksa dibuat berikutan permintaan syarikat itu terlalu besar dan tidak dapat dipenuhi KFA dan kerajaan negeri, antaranya permohonan tanah, penukaran status tanah pertanian kepada industri serta pemilikan stadium.

Ahmad Shaizuan mengakui terkejut dengan kenyataan Muhammad Sanusi pada Rabu namun niatnya hanya mahu berbakti kepada Kedah selain untuk survival bola sepak negeri itu.

“Kami minta untuk pertimbangkan pemberian konsensi hak menguruskan Stadium Suka Menanti selaku padang latihan pasukan. Fasiliti di situ daif walaupun terdapat asrama, dewan makan dan ruang pejabat sedangkan stadium itu berpotensi menjana pendapatan kepada pasukan.

"Kos baik pulih keseluruhan adalah RM3.4 juta dan kami telah masukkan ia sebahagian daripada perancangan sekiranya mendapat hak konsesi pengurusan.

"Bukan hendak ambil percuma sebaliknya yang dicadangkan stadium itu diuruskan syarikat dan keuntungan dikongsi bersama," katanya.

Pihaknya turut menyangkal dakwaan Muhammad Sanusi kononnya syarikat itu mahu memiliki stadium tersebut sedangkan permohonan adalah dikecualikan bayaran sewaan stadium untuk tahun pertama supaya aliran tunai kelab positif.

“Ini kerana jadual Liga Malaysia 'menakutkan' pemilik kelab pada pandemik ini. Jika cadangan tidak dipersetujui, kami sedia menimbangkan pilihan lain.

"Saya harap penjelasan ini tidak dilihat dari sudut politik kerana niat mengambil alih KDA FC tiada kaitan dengan politik,” katanya.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi mengumumkan KDA FC akan dikendalikan sepenuhnya oleh DFC setelah rundingan pengambilalihan 80 peratus saham dengan syarikat swasta itu gagal dimuktamadkan.

ARTIKEL BERKAITAN: KDA FC: Rundingan syarikat swasta gagal dimuktamad


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!