Penggodam antirampasan kuasa lancar serangan siber

Pasukan polis antirusuhan menggunakan semburan meriam air terhadap kumpulan protes antirampasan kuasa di Naypyidaw pada Khamis. - Foto: AFP
Pasukan polis antirusuhan menggunakan semburan meriam air terhadap kumpulan protes antirampasan kuasa di Naypyidaw pada Khamis. - Foto: AFP
A
A
A

YANGON - Kumpulan penggodam antirampasan kuasa pada Khamis melancarkan serangan siber ke atas laman dikendalikan pemerintah junta tentera selepas pihak berkuasa sekali lagi mengenakan sekatan ke atas internet untuk tempoh empat hari berturut-turut.

Penggodam yang menggelarkan diri mereka sebagai Myanmar Hackers itu menyasarkan beberapa laman web milik Bank Pusat, pentadbiran makanan dan ubat-ubatan, halaman propaganda Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw), stesen penyiar MRTV dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.

“Kami memperjuangkan keadilan untuk Myanmar. Ia seperti protes besar-besaran terhadap laman kendalian pemerintah junta tentera,” ujar kumpulan itu menerusi Facebook.

Dalam perkembangan lain, waran tangkap dikeluarkan terhadap enam selebriti yang didakwa mendorong mogok hingga melumpuhkan sebahagian besar pejabat kerajaan sebagai bantahan terhadap rampasan kuasa dilancarkan Tatmadaw pada awal bulan lalu.

Individu terbabit termasuk pengarah filem, pelakon dan penyanyi dikehendaki di bawah undang-undang antimenghasut kerana menggalakkan kakitangan awam menyertai demonstrasi tersebut yang jika disabit bersalah boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun.

Sehingga Rabu, jumlah individu yang ditahan pemerintah junta tentera sejak awal bulan lalu telah mencecah hampir 500 orang. - AFP

Artikel Berkaitan: