Tun M akui masih sayang UMNO

Dr Mahathir ketika program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.- FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB & ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Mahathir ketika program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.- FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB & ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau masih menyayangi parti pertama yang pernah dipimpinnya iaitu UMNO sehingga kini.

“Ya, saya masih sayang UMNO, 22 tahun saya jadi Presiden UMNO,” katanya pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu meletakkan syarat sekiranya ada pihak yang mahu beliau kembali kepada parti lamanya itu.

“Yalah, kalau UMNO pegang balik kepada dasar awalnya berjuang untuk bangsa, untuk negara, untuk agama saya boleh kembali kepada UMNO tetapi ‘penyangak-penyangak’... apa semua (itu) saya tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menegaskan beliau sebenarnya sudah mengambil keputusan untuk berehat daripada politik selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, selepas seminggu peletakan jawatan beliau, beberapa pihak datang meminta bantuan beliau supaya berbuat sesuatu memandangkan pemimpin ketika itu dikatakan tidak menjalankan tugas sebaiknya.

“Satu minggu sahaja sudah nampak berlainan keadaan (nya).

“Jadi mereka datang dan (seterusnya) rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya, saya cuba nasihat (pemimpin terbabit) tapi nasihat tidak berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada UMNO untuk memudahkannya menegur salah laku kerajaan.

“Akhirnya saya terpaksa keluar daripada parti (UMNO) dan menentang kerajaan (UMNO ketika itu). Parti yang dahulu adalah parti saya,” katanya lagi.