Covid-19: Kes baharu 2,998 dengan 22 kematian

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 2,998 kes baharu Covid-19 dan 22 kematian direkodkan dalam negara pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 5,709 kes sembuh direkodkan pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 229,762, manakala kes aktif adalah 41,396.

“Daripada jumlah kes baharu, 2,991 kes adalah penularan tempatan melibatkan 1,578 warganegara dan 1,413 bukan warganegara, manakala tujuh adalah kes import melibatkan tiga warganegara dan empat bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 1,382 kes, diikuti Johor sebanyak 436 kes dan Negeri Sembilan pula 233 kes.

Katanya, sebanyak 231 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 115 memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian akibat Covid-19 di negara ini pada Rabu melepasi 1,000 iaitu 1,005 kes dengan 22 kematian dilaporkan pada Rabu melibatkan warganegara iaitu di Selangor (lapan kes); Sabah (empat kes); Kuala Lumpur (tiga kes); masing-masing dua kes di Sarawak dan Perak; serta satu kes di Negeri Sembilan, Kedah dan Johor dengan lingkungan umur antara 41 hingga 100 tahun.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 103 kes yang dilaporkan pada Rabu adalah berkaitan kluster di penjara dan lokap yang membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (48 kes), Kluster Tembok Bendera (22 kes) dan Kluster Tembok Tapah (12 kes).

Selain itu, Kluster Tembok Sungai Udang (empat kes), Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Penjara Sungai Jelok masing-masing tujuh kes, serta masing-masing satu kes di Kluster Penjara Kepayan, Kluster Tembok Mempaga dan Kluster Matambai.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, 13 kluster baharu dikenal pasti dengan 10 daripadanya melibatkan tempat kerja, dua kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster komuniti di Sarawak dikenali sebagai Kluster Jan Yong.

“Bagi kluster tempat kerja, empat adalah di Selangor iaitu Tapak Bina Jalan Emas, Tapak Bina Seksyen Satu, Jalan Rawang dan Jalan Subang; di Johor (Jalan Perindustrian Murni, Senai Murni Empat dan Jalan Persiaran Cyber); Terengganu (Pulau Rusa); Negeri Sembilan (Industri Tekstil Nilai); dan Kuala Lumpur (Tapak Bina Jalan Sultan),” katanya.

Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi pula adalah di Jalan DC di Selangor dan Jalan Paya Manis di Johor.

Dr Noor Hisham berkata, kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tanjung Suria (380 kes), Kluster Kebun Baru (186 kes), dan Kluster Industri TTJ (141 kes).

Beliau berkata, 529 kluster telah tamat termasuk 13 kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Damai Ketari; Kluster Senai Cyber; Kluster Taman Sayong Pinang; Kluster Belukar; Kluster Sungai Burong; Kluster Tampoi Lima; Kluster Jalan Taruka; Kluster Jalan Rami; Kluster Udarama; Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah; Kluster Puncak Galaksi; Kluster Dang Mutiara dan Kluster Kampung Geting. - Bernama