Tidur pun bersama basikal

A
A
A

SALAH satu syarat hidup adalah memiliki basikal.

Apabila perekacipta Jerman, Karl Von Drais menghasilkan swiftwalker yang disifatkan sebagai basikal yang pertama dan nenek moyang kepada semua basikal yang ada sekarang, dia mungkin tidak pernah menyangka bahawa suatu masa kenderaan yang diciptanya pada tahun 1817 itu akan menjadi kegilaan seantero dunia.

Dan dia tentulah paling tidak menyangka, selepas kenderaan ciptaannya itu melalui proses-proses evolusi yang berterusan, ia menyebabkan seorang budak di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar pernah menyimpan niat untuk membawa basikal naik ke katil setiap malam. Niat yang bukanlah didorong oleh keinginan hendak memeluk basikal itu dan menjadikannya teman tidur, tetapi lebih disebabkan takut dicuri orang.

Sesungguhnya itulah yang saya rasa ketika kali pertama dibelikan basikal. Waktu itu saya baru berumur enam tahun. Belum sunti tapi masih suci murni. Basikal itu jenis chopper, ada gear. Dan gear itu menyebabkan saya terasa hidung kembang 24 jam seolah-olah dalam dunia ini basikal saya seorang sahajalah yang ada benda itu.

Apabila semakin pandai menunggang, pergerakan basikal pun menjadi semakin jauh. Macam budak-budak lain, walaupun sentiasa dipesan ‘hati-hati naik basikal tu’, ‘jangan laju-laju’, patuh saya hanyalah di depan orang yang berpesan; tidak kiralah ibu, bapa, emak saudara, bapa saudara, jiran tetangga, tok sidang, tok imam atau sesiapa pun.

Sebaik sahaja jauh daripada mereka, basikal itu secara automatik menjadi lebih laju daripada biasa. Tidak tahulah sama ada salah kaki saya atau salah pengayuh.

Dengan basikal itulah saya berulang-alik ke sekolah sehingga ke darjah tiga. Berbasikal pada usia awal kanak-kanak seperti itu jarang tidak diiringi fantasi. Membayangkan basikal tiba-tiba ada kuasa ajaib boleh bergerak sendiri tanpa dikayuh dan kelajuannya pula boleh dikawal dengan niat di hati, membayangkan basikal boleh terbang, atau boleh bertukar menjadi kapal selam apabila terjatuh ke dalam parit sering bersimpang-siur keluar dan masuk ke fikiran.

Yang paling menarik fantasinya tentulah bila dapat mengejar kereta atau motosikal perompak, kemudian menumpaskan mereka dengan kuasa yang ada pada basikal itu dan seterusnya mendapat pujian daripada pihak polis. Ahhh, emak dan bapa saya tentu bangga. Ke mana saya pergi orang akan sambut. ‘Budiman datang!’, ‘Hidup Budiman!’. Superman dan Batman pun mungkin cemburu.

Memasuki darjah empat, saya dibelikan basikal baharu. Jenis Yokohama. Maknanya, sudah naik gred. Basikal chopper dahulu membawa imej keanak-anakan, kalau terus ditunggang sehingga darjah empat dan ke atas, sudah tentu akan jadi bahan gelak ketawa kawan-kawan.

Saya minta basikal BMX atau setidak-tidaknya basikal racing supaya kelihatan jantan namun atas faktor ekonomi, supaya basikal tersebut dapat dikongsi dengan adik-beradik yang lain dapatlah saya basikal Yokohama.

Berbeza dengan basikal baharu saya itu, ia lebih sesuai untuk kanak-kanak yang sudah agak besar. Beg sekolah diletakkan di bakul basikal. Macam basikal perempuan. Waktu itu jiwa pun sudah mula kacau.

Maklumlah sudah pandai sikat rambut belah tepi, sesekali sudah pandai memutih dengan bedak Cuticura. Dalam keadaan itu, apabila dapat naik basikal terasa sangat ‘padu’nya. Lebih padu lagi jika dapat berbasikal melintas kumpulan budak-budak perempuan. Alangkah indahnya jika mereka tertoleh-toleh melihat kita.

Artikel Berkaitan:

Lebih-lebih lagi jika yang menoleh itu adalah salah seorang daripada mereka yang kita berkenan. Pada waktu begitu jugalah, saya mula tidak sabar menanti pagi kerana mahu menunggu seseorang untuk berbasikal ke sekolah bersama-sama dengannya.

Jangan ditanya bagaimana perasaan pada waktu itu. Kita sanggup menunggu selang beberapa rumahnya supaya secara ‘kebetulan’ kami bersaing ke sekolah. Rabindranath Tagore pun mungkin tidak boleh hendak olah kata-kata untuk digambarkannya.

Begitu juga ketika balik dari sekolah, sentiasa tidak sabar untuk mengulangi adegan yang sama. Malah, kalau diikutkan hati, hari cuti dan malam hari pun hendak berulang alik ke sekolah juga.

Bohonglah kalau dikatakan saya ini penunggang basikal yang ‘skema’. Yang kelam-kabut membrek basikal sebaik ternampak lopak 100 meter di hadapan, yang turun dari tebing jalan setiap kali berselisih dengan lori atau motokar, yang sebelum mula mengayuh akan memeriksa semua bahagian basikalnya supaya berada dalam keadaan yang benar-benar berfungsi. Tidak. Saya bukan jenis itu.

Perbezaan

Saya peminat sejati Jamal Abdillah dengan scramblernya. Waktu itu memang filem Azura sangat popular. Pengaruhnya meresap jauh sehingga ke kampung saya. Saya pun terpengaruh juga. Terkial-kial macam kawan rakan lain hendak meluruskan sepit udang basikal dengan satu niat; untuk menjadikannya macam scrambler Jamal.

Seperti rakan-rakan sebaya yang lain, saya ada pengalaman meng ‘wheelie’kan basikal. Begitu juga dengan pengalaman ‘korner baring’. Buat ‘spiderman’ dengan cara meniarap di atas tempat duduk sahaja saya tidak pernah.

Tetapi bab masuk dalam parit, dalam sawah, dalam longkang, memang saya pernah sangat-sangat. Kalau setiap kali jatuh itu berparut, mungkin badan saya ini penuh dengannya. Mujurlah yang ada itu tidak banyak. Jika banyak pun saya tidak ambil hirau. Parut adalah simbol kelakian.

Berbasikal pada masa sekarang juga saya rasa tidak seseronok dahulu, terutama bagi kanak-kanak. Gaya hidup zaman moden ini tidak menyediakan ruang untuk mengecap keseronokan itu. Jalan raya yang sibuk, pemandu dan penunggang kenderaan yang kian nipis nilai timbang rasanya, menyebabkan jalan raya – malah juga jalan-jalan kampung – bertukar menjadi medan yang berbahaya.

40 tahun yang lalu, senarionya sama sekali berlainan. Jalan-jalan kampung masih lengang. Malah jalan raya di pekan Sungai Besar atau jalan utama Sabak Bernam – Kuala Lumpur pun masih boleh dianggap selamat untuk penunggang basikal. Kalau melintas pada waktu tengah malam tidak perlu pun bersusah-payah tengok kiri, tengok kanan. Tetapi sekarang, jangan cuba-cuba.

Kanak-kanak yang berbasikal ke sekolah pun sekarang ini tidak seramai dahulu. Yang di sekolah rendah kebanyakannya dihantar oleh ibu bapa, yang di sekolah menengah pula sudah mampu berulang-alik dengan motosikal.

Mujurnya populariti basikal tidak mati. Ia kini menjadi hobi orang-orang berduit pula. Dengan perkataan lain standardnya menjadi semakin tinggi. Peminat basikal juga semakin memahami jenis basikal seperti MTB, Roadbike, Folding Bike, Hybrid, Fatbike dan Fixie. Bukan hanya basikal, seluar dan baju, juga aksesori basikal mesti dibeli bersama. Selamat tinggal berbasikal dengan seluar pendek tanpa baju.

Sebab itu tidak hairanlah jika ada basikal yang harganya sama dengan dua buah rumah kos rendah. Kalau buat modal bela kelulut boleh dapat dua tiga ratus sarang. #dush

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia