Sungai anugerah yang terindah

Sungai adalah sumber kepada kelestarian kehidupan manusia sejak berzaman lagi.
Sungai adalah sumber kepada kelestarian kehidupan manusia sejak berzaman lagi.
A
A
A

SUNGAI adalah sumber kepada kelestarian kehidupan manusia sejak berzaman lagi.

Sungai berfungsi dalam membekalkan ekosistem yang stabil merangkumi air bersih, tanaman dan juga ikan-ikan serta hidupan air yang berada di dalamnya menyumbang banyak kepada kelestarian alam sekitar dan menyokong kepada kewujudan biodiversiti yang seimbang.

Kerosakan dan kehilangan ke atas biodiversiti ini akan memberi kesan buruk terhadap kestabilan ekosistem yang akan menyebabkan pengurangan sumber alam sekitar untuk memenuhi keperluan sosial (manusia amnya). Keseimbangan kepada biodivesiti merupakan suatu perkara yang sangat penting bagi menjamin kebolehupayaaan dan kebolehtampungan hidupan liar.

Ini jelas menunjukkan bahawa hubung kait antara manusia dan alam sekitar merupakan aspek utama yang perlu dititikberatkan bagi kelangsungan alam sekitar yang lestari.

Jika kita ingat ‘Cintailah Sungai Kita’ merupakan slogan yang sangat popular pada tahun 1980-an dan juga awal tahun 1990-an. Sangat ringkas, tapi memberi 1,000 makna yang jelas agar kita dalam erti kata sebagai manusia khasnya perlu menyemai dan memahami konsep penjagaan sungai sebagai suatu sumber alam sekitar yang sangat bermakna dalam kehidupan kita seharian.

Jika dilihat pada awal tahun 1980-an, sungai merupakan sumber kepada air minuman selain air telaga yang digali oleh setiap penduduk di kampung-kampung.

Sungai juga menjadi tempat rekreasi pada hujung minggu dengan pelbagai aktiviti seperti berkelah dan memancing bersama keluarga dan rakan taulan...tambah lagi di musim kemarau. Namun, kini sudah tinggal kenangan.

Selain itu, dari segi sejarah pembentukan bandar dan kota di Malaysia, kebanyakan bandar dan kota di Malaysia adalah terbentuk di antara kedudukan sungai dan juga sebahagian daripada wujudnya sungai tersebut.

Ini kerana sungai merupakan sumber laluan utama untuk manusia bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain. Kewujudan sungai menyuburkan lagi hubungan silaturahim antara dua kampung yang berlainan, malah antara daerah, negeri dan juga negara.

Walaupun sungai adalah pemisah antara dua tempat, namun wujudnya sungai melengkapkan kehidupan dan toleransi sesama manusia.

Penjagaan

Dalam pada kita terlalu sibuk dengan pekerjaan dan ditelan dengan kemajuan yang begitu pesat, pengekalan dan penjagaan kepada keindahan persekitaran sungai tidak boleh diabaikan. Kebersihan sungai menjadi indikator kepada kelangsungan kehidupan manusia secara amnya.

Artikel Berkaitan:

Umpamanya sungai yang berada di kawasan bandar, merupakan sungai yang bukan sahaja perlu dijaga keindahan persekitarannya, namun perlu seiring bergerak mengikut peredaran kemajuan yang pesat juga. Ini bermakna, setiap apa jua pembangunan yang dilakukan di kawasan sekitar dengan sungai perlu mengambil kira kesan jangka panjang ke atas sungai-sungai tersebut.

Telah dibuktikan, sungai bukan sahaja tempat rekreasi, namun sungai merupakan sumber janaan ekonomi melalui pelancongan bandar (urban tourism) seperti yang berlaku di Seoul, Korea, juga di Sungai Melaka, Melaka.

Ramai orang tertarik untuk menyelusuri sungai-sungai ini untuk menikmati keindahan dan kebersihan sungai dan kawasan sekitar. Umpamanya Sungai Melaka, di mana sepanjang sungai ini terdapat banyak bangunan bersejarah yang menjadi daya tarikan dan memberikan imej dan identiti tersendiri.

Di samping itu, perubahan flora dan fauna di sekitar sungai juga membawa kepada pengubahan interaksi yang seterusnya menyebabkan hubungan berubah antara organisma dan persekitaran.

Secara kolektif, usaha-usaha untuk melindungi sungai boleh juga dilakukan dengan menanam semula tumbuh-tumbuhan asli (native spesies) yang sememangnya dapat mewujud dan mengekalkan kawasan sungai daripada kehilangan biodiversiti dan ekosistem.

* Dr Mohd Ramzi Mohd Hussain ialah Profesor Madya di Jabatan Senibina Landskap, Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)