Jurutera rugi RM71,000 ditipu sindiket Macau Scam

Lelaki berumur 26 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan perkhidmatan kurier antarabangsa dari Beijing, China.
Lelaki berumur 26 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan perkhidmatan kurier antarabangsa dari Beijing, China.
A
A
A

MELAKA - Seorang jurutera kerugian RM71,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan perkhidmatan kurier antarabangsa dari Beijing, China dengan mendakwa mangsa ada menghantar bungkusan ke negara tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintenden E Sundra Rajan berkata, lelaki berumur 26 tahun yang menetap di Bukit Beruang itu menerima panggilan telefon daripada individu sindiket terbabit pada 26 Januari lepas.

“Bungkusan tersebut dipercayai mengandungi banyak kad kredit dan mangsa dimaklumkan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, sebelum taliannya disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Beijing.

“Individu terbabit meminta mangsa memuat naik aplikasi Skype dan mengarahkan mangsa memasukkan wang ke akaunnya sebagai jaminan untuk menyelesaikan kes,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa yang dalam ketakutan telah mengikut arahan individu itu dengan melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah RM71,000 ke dua akaun bank yang berbeza pada 27 Januari lalu.

Katanya, setelah pembayaran dibuat, individu terbabit masih lagi mengarahkan mangsa membuat pembayaran tetapi mangsa tidak mengikut arahan tersebut kerana mula sedar dirinya telah ditipu.

Menurut beliau, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru di sini pada Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu. - Bernama

Artikel Berkaitan: