Koalisi perdana parti Melayu terletak di tangan Pas

Sivamurugan
Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Hala tuju pembentukan koalisi perdana parti Melayu membabitkan Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) kini terletak di tangan Pas untuk direalisasikan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, Pas kini perlu memainkan tanggungjawab besar dalam menentukan sama ada pembentukan koalisi perdana di blok kerajaan mampu direalisasikan atau tidak.

Sivamurugan berpandangan, mana-mana parti berdepan kesukaran membentuk kerajaan stabil selepas PRU15 sekiranya mereka berkeras mahu bergerak solo dan enggan membentuk koalisi perdana membabitkan blok masing-masing.

Selain itu, beliau turut menegaskan tumpuan kini terarah kepada Pas kerana parti itu bukan sahaja bersama BN dalam Muafakat Nasional (MN), bahkan turut menyertai koalisi PN yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi.

“Apabila (Menteri Besar Perak) Datuk Saarani (Mohamad) seolah-olah memberi isyarat UMNO tidak akan bekerjasama dengan PN, adakah keputusan itu dibuat hanya bersandarkan kekuatan koalisi BN sahaja atau kerjasama MN bersama Pas?

“Sekiranya bersandarkan kekuatan MN, sejauh mana kekuatan koalisi itu diukur tanpa menjejaskan kedudukan Pas dalam PN?

“Dalam merungkai konteks ini, saya berpandangan aspek kejujuran untuk bekerjasama adalah paling penting. Sebarang bentuk kerjasama harus dilihat menfokuskan pengukuhan dan bukan mendedahkan sebarang kelemahan kepada pihak musuh,” katanya.

Dalam pada itu, Sivamurugan turut berpandangan bukan mudah untuk sesebuah parti kembali kepada mendominasi politik tanah air sebagaimana dicapai sebelum PRU14.

Artikel Berkaitan:

“Senario politik sekarang lebih dinamik dengan setiap parti perlu mewujudkan penjajaran dan konfigurasi politik baharu untuk terus kekal berkuasa atau membentuk kerajaan lebih stabil.

“Sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru, saya percaya blok pembangkang akan peroleh kelebihan.

“Tetapi segalanya bergantung kepada keupayaan mereka membentuk grand coalition.

“Begitu juga dengan BN dan PN. Sekiranya dua koalisi itu termasuk Pas mampu bekerjasama, mereka mungkin menang besar pada PRU15.

“Namun, realiti sebenar perkara itu sukar dicapai,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.