KPM perkasa unit kaunseling, bantu pelajar pilih hala tuju

Fadhlina (tengah) bersama Taufik (kanan) ketika program Sesi Motivasi bersama Cikgu Menteri di Jalan Kuala Kedah pada malam Jumaat.
Fadhlina (tengah) bersama Taufik (kanan) ketika program Sesi Motivasi bersama Cikgu Menteri di Jalan Kuala Kedah pada malam Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkasakan lagi unit bimbingan dan kaunseling di sekolah bagi menghadapi cabaran baharu termasuklah hala tuju pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan membuat pemerkasaan unit bimbingan dan kaunseling itu daripada pelbagai sudut.

Fadhlina berkata, antaranya pihak kementerian akan memastikan lebih ramai guru menjadi kaunselor terlatih dengan kelulusan Lembaga Kaunselor.

“Kita hendak lebih ramai cikgu jadi kaunselor terlatih dan kemudiannya berhadapan dengan isu serta cabaran pendidikan masa kini.

“Misalnya, soal kesihatan mental, kerjaya, hala tuju murid dan juga berkaitan isu yang berkait rapat dengan pembangunan ansur maju setiap kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas program Sesi Motivasi bersama Cikgu Menteri di Jalan Kuala Kedah di sini pada malam Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufik Johari.

Dalam pada itu, Fadhlina berpandangan, bimbingan guru kaunseling terutamanya berkaitan hala tuju pendidikan penting dalam menangani isu pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pengajian mereka.

“Kita sekarang sudah pergi kepada pentaksiran, jadi guru bimbingan dan kaunseling kena lagi kuat daripada segi itu supaya mereka boleh berfungsi dengan baik untuk beri panduan kepada anak-anak murid,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, KPM telah melaksanakan pelbagai intervensi bagi menangani isu pelajar lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi setelah tamat sesi persekolahan.

"Pertamanya, soal bimbingan dan kaunseling yang diberikan daripada awal lagi dan kemudian yang kedua, ujian psikometrik untuk anak ini supaya kita boleh mengenal pasti minat mereka dan data kerjaya yang kita boleh bantu dan bimbing mereka.

"Ketiga, adalah program-program seperti motivasi, yang mana alumni-alumni turun ke sekolah dan ceramah kerjaya. Kita juga laksana sistem E-Profil Kerjaya supaya selepas mereka habis SPM, kita boleh kesan hala tuju mereka dalam tempoh dua tahun," katanya.

Menurut beliau, KPM juga memerlukan sinergi daripada kementerian lain seperti Kementerian Sumber Manusia untuk memadankan kerjaya yang ada dengan pelajar lepasan SPM ini.

Tambah Fadhlina, pelbagai peluang pengajian termasuklah tingkatan enam dan kolej matrikulasi turut ditawarkan kepada lepasan SPM tersebut sekali gus mereka diharapkan mengambil peluang itu.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memiliki merit dan kekuatan tersendiri, malah kelulusan itu amat diiktiraf dalam negara.

Sehubungan itu, kata Fadhlina, pihaknya akan melaksanakan kempen bagi menggalakkan lepasan SPM menyambung pengajian ke tingkatan enam.