Perdaya warga emas dengan suntikan vaksin Covid-19 palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HYDERABAD - Keadaan hidup yang semakin terdesak menyebabkan seorang jururawat di India tergamak menipu pasangan warga emas dengan memberikan suntikan vaksin Covid-19 palsu dan turut melarikan barang kemas seberat 80 gram milik mereka.

Jurucakap polis pada Isnin memaklumkan suspek dikenali sebagai Anusha telah ditahan pada Ahad beberapa jam selepas pasangan di Lalitha Nagar, Hyderabad itu membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Menurut K Laxman, 80, dan isterinya, Kasturi, 70, suspek yang sebelum ini menyewa berhampiran rumah pasangan terbabit menawarkan untuk menguruskan vaksinasi tersebut.

"Sebelum beri suntikan itu, dia memberitahu kami akan rasa mengantuk buat seketika waktu. Kami tidak tahu apa yang berlaku dan hanya sedar beberapa jam selepas itu dan kemudiannya menyedari telah dirompak," ujar Kasturi.

Isteri mangsa mendakwa barang kemas miliknya termasuk anting-anting dan cincin dilarikan Anusha.

Hasil siasatan awal polis mendapati suspek dan suaminya sedang mengalami masalah kewangan.

Dia nekad menyasarkan pasangan warga emas tersebut dan memperdaya mereka dengan suntikan vaksin Covid-19.

Susulan itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pihak yang menawarkan untuk memberikan suntikan vaksin tersebut memandangkan ia masih belum dipasarkan dan hanya diberikan kepada petugas barisan hadapan buat masa ini. - Agensi

Artikel Berkaitan: