Ikmal syor pelaut diberi vaksin fasa pertama

Ikhtisas Kelautan Malaysia (Ikmal) syor agar pelaut negara turut diberi keutamaan untuk menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Ikhtisas Kelautan Malaysia (Ikmal) syor agar pelaut negara turut diberi keutamaan untuk menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ikhtisas Kelautan Malaysia (Ikmal) mengesyorkan agar pelaut negara turut diberi keutamaan untuk menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ikmal dalam kenyataan menjelaskan pelaut yang telah divaksin akan dapat kembali bertugas di atas kapal dan dapat menyokong rantaian logistik melalui perkhidmatan pengangkutan laut.

Langkah itu juga katanya, dijangka dapat mengurangkan sekatan perjalanan ke atas pelaut sekali gus mengelak mereka terperangkap di atas kapal setelah tamat kontrak.

Menurut kenyataan tersebut, sektor pengangkutan laut memainkan peranan penting dari segi ekonomi dan sokongan logistik ketika pandemik Covid-19 kerana pelabuhan terus dibuka untuk memastikan rantaian bekalan tidak terjejas dengan 90 peratus dagangan dunia diangkut melalui jalan laut.

"Di sebalik pergerakan logistik marin yang tidak pernah berhenti ini, terdapat 1.6 juta pelaut di seluruh dunia yang memastikan kapal sentiasa beroperasi untuk membawa pelbagai jenis barangan termasuklah bahan api, makanan dan ubat-ubatan," katanya.

Jelas kenyataan itu, pelaut negara tidak terkecuali dalam ekosistem itu dan dianggarkan kira-kira 40,000 orang terus bertugas walaupun terpaksa berdepan pelbagai kesukaran.

"Mengikut anggaran Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), terdapat 400,000 pelaut yang terperangkap di atas kapal di seluruh dunia dan tidak dapat pulang ke negara asal setelah tamat kontrak kerana sekatan perjalanan.

"Pelaut juga merupakan kumpulan yang berisiko. Sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 semasa kapal sedang belayar mereka mungkin terpaksa menunggu beberapa hari malah lebih seminggu untuk sampai ke pelabuhan dan mendapatkan bantuan perubatan," menurut kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga sesetengah pelabuhan yang menyekat bantuan kepada pelaut atau memberi bantuan dengan karenah birokrasi yang amat tinggi, jelas kenyataan itu.

Menurut Ikmal, Dewan Perkapalan Antarabangsa (ICS) turut menggesa supaya pelaut diberi keutamaan untuk divaksin dengan segera, dengan negara jiran Singapura juga mengumumkan keutamaan vaksin kepada pelaut.

Sehubungan itu, Ikmal akan berkomunikasi dengan agensi-agensi yang terlibat untuk membawa syor agar pelaut negara diberi keutamaan menerima vaksin itu kepada perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pada 4 Februari lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini dengan kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu.

Fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!