Pegawai kerajaan beri kontrak kepada ahli keluarga ditahan SPRM

S Karunanithy
S Karunanithy
A
A
A

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kerajaan yang disyaki menyalahgunakan kedudukannya dengan memberi kontrak bernilai kira-kira RM36,000 kepada ahli keluarga.

Menurut sumber, lelaki berusia 40-an yang bertugas di sebuah pusat latihan agensi kerajaan Persekutuan itu ditahan kira-kira jam 12.15 tengah hari pada Ahad di Pejabat SPRM Sabah.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

Katanya, suspek disiasat kerana disyaki memberikan beberapa kontrak pembekalan dan pembaikan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembekalan makanan kepada ahli keluarga.

Karunanithy juga kecewa kerana masih ada kakitangan awam yang menggunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri dengan memberikan kontrak kepada ahli keluarga.

"Ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Karunanithy turut mengesahkan dua lagi individu ditahan susulan penahanan empat kakitangan sebuah agensi kerajaan Persekutuan di Sabah berhubung kesalahan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu pada Rabu lalu.

Menurut beliau, kakitangan daripada agensi yang sama berusia 39 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari Ahad di Pejabat SPRM Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan akan dikemukakan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu," katanya.