Gesa siasat bekas menteri gagal lapor tawaran sogokan

Abdul Hadi (tengah) membuat laporan polis di IPD Kota Setar pada Ahad.
Abdul Hadi (tengah) membuat laporan polis di IPD Kota Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub di atas kegagalan melaporkan tawaran percutian mewah yang diterima daripada sebuah syarikat kartel daging import.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Abdul Hadi Omar berkata, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu menerusi laporan sebuah akhbar mendedahkan pernah menolak tawaran percutian kelas pertama ke Eropah selepas beberapa bulan dilantik sebagai menteri.

Katanya, pihaknya turut mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Pulai itu ketika menjadi menteri tidak melaporkan kes sogokan seperti yang didakwa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Lima orang kakitangan Kementerian Kewangan telah didenda oleh mahkamah kerana gagal melaporkan kesalahan sogokan berlaku dua tahun lalu dan buat pertama kali mereka didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

"Kenyataan Salahuddin mendedahkan kesalahannya kerana melanggar Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 yang mewajibkan mana-mana pegawai badan awam yang diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan untuk melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu kepada pegawai SPRM atau PDRM yang paling hampir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Ahad.

Turut hadir, Exco Pemuda Pas Kedah, Adnan Yusuf dan Ikram Zaki Mohd.

Abdul Hadi berkata, pihaknya turut menganggap kegagalan Salahuddin melaporkan kes sogokan tersebut kepada SPRM menggambarkan integriti rendah kerajaan Pakatan Harapan ketika berkuasa.

Artikel Berkaitan: