Akhirnya Pakcik Karim setuju berpindah

Wakil LZS ketika bertemu dengan Pakcik Karim (kiri) yang menjadikan surau di Seksyen 7 di Shah Alam sebagai tempat tinggal sebelum bersetuju untuk berpindah ke bilik sewa di Seksyen 17.
Wakil LZS ketika bertemu dengan Pakcik Karim (kiri) yang menjadikan surau di Seksyen 7 di Shah Alam sebagai tempat tinggal sebelum bersetuju untuk berpindah ke bilik sewa di Seksyen 17.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Selepas hampir empat tahun menumpang teduh di sebuah surau di Seksyen 7 di sini, seorang warga emas yang menjual dadih untuk kelangsungan hidup akhirnya berjaya dipujuk untuk berpindah ke tempat tinggal yang lebih selesa.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi satu kenyataan di Facebooknya memaklumkan, warga emas dikenali sebagai Pakcik Karim itu sebelum ini pernah dipujuk untuk berpindah dari surau ke rumah namun pujukan itu ditolak.

Menurut kenyataan itu, Pakcik Karim yang sebelum ini tinggal di surau kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya akhirnya berjaya dipujuk untuk berpindah ke sebuah bilik sewa di Seksyen 17, di sini.

“LZS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Kemasyarakatan Asnaf Seksyen 7 berjaya mendapatkan sebuah bilik sewa untuk Pakcik Karim.

“Deposit kemasukan ke bilik sewa berkenaan ditaja oleh Kitafund manakala bayaran bulanan ditanggung oleh LZS sepenuhnya,” katanya.

LZS memaklumkan, prihatin dengan kehidupan Pakcik Karim, NGO terbabit juga menyumbang beberapa kelengkapan termasuk katil, tilam, bantal, kipas dan peti sejuk.

“Terima kasih pembayar zakat Selangor kerana wang zakat yang anda tunaikan dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada Kitafund, Pertubuhan Kebajikan Kemasyarakatan Asnaf Seksyen 7, Ketua Amil Shah Alam, Penolong Amil Kariah dan semua yang terlibat dalam membantu Pakcik Karim,” katanya.

Artikel Berkaitan: