X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak timbul isu akaun rahsia UMNO

A
A

DALAM keadaan sebahagian pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu mahu mencari titik pertemuan mengadakan kerjasama politik menjelang pilihan raya umum akan datang, tidak kurang juga yang memilih jalan mahu berpecah-belah dan menunjukkan kekuatan masing-masing.

Terbaru kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman mengenai akaun rahsia UMNO adalah salah satu tindakan semberono yang akan menyukarkan lagi hubungan kedua-dua parti.

Muhammad Faiz kelihatan terburu-buru memetik hujah pendakwa raya dalam satu kes mahkamah untuk mendesak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengambil tindakan ke atas UMNO.

Sebaliknya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang memancing UMNO dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyatakan kepada portal Malaysiakini, “Keterangan pendakwa raya di mahkamah belum lagi konklusif. Perlu didengar apa kata pihak UMNO pula.

“Hakim perlu semak evidence of documentation (bukti dokumentasi) dan keterangan sumpah saksi untuk putuskan sama ada pendedahan pendakwa raya itu boleh diterima atau tidak.”

Dalam keadaan hubungan tidak baik ini, kepimpinan Bersatu tidak sewajarnya memarakkan api kemarahan ahli UMNO kecuali mereka benar-benar mahu berkerat rotan dan berpatah arang dengan semua orang UMNO.

Dalam menguruskan kerjasama sesama parti Melayu Islam ini, harus mengambil sikap seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Perbicaraan

Isu akaun rahsia atau sulit UMNO ini timbul dalam perbicaraan perlucutan hak terhadap wang tunai berjumlah RM114.16 juta. Wang tunai yang sebahagiannya dalam matawang asing ini dirampas dari rumah bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018.

Menurut laporan media, pendakwa raya berhujah UMNO mempunyai akaun rahsia yang tidak diaudit melalui UMNO bagi menerima sumbangan politik. Justeru tiada keperluan untuk bekas Presiden UMNO menyimpan wang tunai beratus juta ringgit, apatah lagi dalam matawang asing.

Bagaimanapun rahsia yang dimaksudkan oleh pendakwa raya tidak harus dilihat dari sudut negatif seperti akaun penjenayah. Ia bukan akaun tanpa identiti jelas seperti dalam sistem perbankan sesetengah negara dan perbankan persisir pantai (offshore banking).

Akaun yang dirujuk ini ialah akaun yang dikendalikan melalui beberapa pemegang amanah UMNO bagi tujuan dana politik dan perbelanjaan politik. Ia mungkin dianggap rahsia oleh pendakwa raya kerana akaun ini tidak daftarkan secara rasmi sebagai akaun pertubuhan dan dihantar laporan kepada ROS.

Namun ia bukanlah rahsia kerana akaun ini telah dibeku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018 dan dibawa ke mahkamah untuk merampas wang sebanyak RM192 juta dalam akaun tersebut.

SPRM dengan jelas menamakan UMNO sebagai pemilik akaun tersebut dan mendakwa wang tersebut ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Pada Julai 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menyahbekukan akaun ini dan mengembalikannya kepada pemegang amanah UMNO dan menolak sebarang kaitan dengan penggubahan wang haram.

Jadi ia tidak timbul isu akaun tersebut rahsia atau sulit kerana telah menjadi bahan perbicaraan mahkamah dan dilaporkan dalam media. Malah keputusan mahkamah menyahbekukan akaun tersebut menunjukkan ia tidak melanggar sebarang undang-undang perbankan negara.

Pendedahan ini sekali gus menafikan cerita-cerita dalam kalangan akar umbi UMNO bahawa salah satu bukti Bersatu menindas UMNO ialah keengganan kerajaan menyahbekukan akaun UMNO walaupun telah diperintah oleh mahkamah.

Akaun UMNO sudah dinyahbekukan sejak tahun lepas lagi.

* AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!