X

Kindly register in order to view this article
!

BDR: MEF minta pertimbang insentif kepada majikan, pekerja

Shamsuddin Bardan
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian insentif tambahan kepada majikan dan pekerja yang terpaksa meneruskan operasi dengan melaksanakan konsep bekerja dari rumah (BDR).

Menurut laporan Astro Awani, Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ini kerana pihaknya menjangkakan pelaksanaan BDR akan terus berlanjutan meskipun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Beliau berkata, kerajaan boleh memberikan insentif percukaian kepada majikan yang menyediakan peralatan dan perkhidmatan internet di rumah pekerja.

"Sebenarnya, keperluan bekerja dari rumah itu kebanyakannya bergantung kepada peralatan yang disediakan sendiri oleh pekerja dan ia tidak disediakan oleh majikan.

"Sehubungan itu, saya harap pihak kerajaan dapat memberikan insentif percukaian tertentu kepada majikan yang menyediakan peralatan dan juga perkhidmatan internet di rumah pekerja.

“Langkah tersebut boleh dilakukan supaya ia dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung pekerja yang terpaksa bekerja dari rumah,” katanya pada Sabtu.

Pada Jumaat, laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 13 daripada 14 kluster yang dicatatkan adalah melibatkan kluster tempat kerja dan satu daripada kluster komuniti.

Shamsuddin berkata, MEF juga berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan penyediaan insentif supaya pekerja dapat menyediakan satu ruang kerja khusus di rumah bagi membolehkan mereka memelihara kesihatan apabila bekerja di rumah.

Beliau berkata, pihaknya telah menyuarakan cadangan insentif berkenaan kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan, namun belum ada perbincangan lanjut dilakukan.

"Kita belum berbincang secara langsung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) buat masa ini.

"Dalam masa terdekat, saya kira MEF boleh bincang perkara berkenaan dengan pihak MTUC supaya kita dapat bersama-sama menjayakan program bekerja dari rumah yang menjadi salah satu normal baharu yang timbul dari Covid-19 ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!