Selepas i-Sinar, Puteri UMNO desak pemberian moratorium

Zahida Zarik Khan
Zahida Zarik Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Puteri UMNO mengulangi gesaannya kepada kerajaan supaya memberikan kemudahan moratorium automatik kepada rakyat.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, beliau berpendirian bahawa kerajaan seharusnya memenuhi satu lagi tuntutan yang dikemukakan partinya selepas mengumumkan pemansuhan syarat kemudahan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya cuma menyeru agar permintaan kedua mengenai moratorium automatik diberi pertimbangan sewajarnya. Berdoalah kita.

“Saya tetap dengan pendirian asal agar kedua-dua permintaan di atas dapat diluluskan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Di dalam perbahasan Belanjawan 2021 yang telah diluluskan pada November tahun lalu, dua tuntutan utama dikemukakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah pelaksanaan moratorium secara pukal dan kemudahan pengeluaran akaun satu KWSP.

Pada Khamis lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pelaksanaan moratorium menyeluruh bukanlah jalan penyelesaian terbaik yang perlu dilakukan pada ketika ini.

Menurut Nor Shamsiah, langkah tersebut sekiranya dilaksanakan berpotensi untuk menjejaskan jutaan rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang termasuk mengganggu usaha pemulihan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Zahida berkata, isu moratorium tidak melibatkan pemberian sebarang bantuan kewangan kepada rakyat tetapi sebaliknya hanya memerlukan kerajaan untuk menggunakan kuasa yang dimilikinya bagi memenuhi permintaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan meminta bantuan kewangan daripada kerajaan. Harapan ramai rakyat ialah kerajaan dapat menggunakan kuasa mereka untuk melaksanakan permintaan-permintaan ini demi kelestarian kehidupan rakyat yang rata-rata menghadapi kesulitan teramat sangat.

“Walaupun kerajaan terpaksa mengorbankan hanya seorang (bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWSP) untuk menjayakan sepenuhnya skim i-Sinar, saya berpendapat kosnya memadai untuk memastikan rakyat terus dibantu,” katanya.

Zahida turut memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana akur dengan permintaan kebanyakan rakyat yang sangat terkesan dengan kemelesetan ekonomi pada ketika ini.

“Akhirnya kerajaan ini akur dengan desakan rakyat yang telah menyuarakan keperluan mereka untuk mengeluarkan wang caruman sendiri di dalam akaun satu tanpa prasyarat.

“Inilah antara permintaan utama UMNO dalam belanjawan tempoh hari. Kita tetap mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Muhyiddin kerana akhirnya akur dengan permintaan ramai rakyat yang sangat terkesan dengan kemelesetan ekonomi sekarang ini,” katanya.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Khamis dilaporkan berkata, KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar untuk menambah baik inisiatif tersebut selepas mengambil kira maklum balas awam dan juga atas nasihat Perdana Menteri.