X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Dua lelaki ditahan bantu siasatan penemuan mayat dalam kebun

Gambar hiasan
A
A

BENTONG - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung mayat seorang pekerja kebun bunga yang ditemui di sebuah kebun di Sungai Dua dekat Karak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, anggota Balai Polis Karak menerima panggilan telefon daripada majikan pekerja terbabit yang merupakan warga tempatan memaklumkan penemuan mayat berkenaan.

Menurutnya, siasatan polis di tempat kejadian menemui mayat seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun dalam keadaan tertiarap di tangga sebuah pondok.

"Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dan pakar patologi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan tiba di tempat kejadian dan mengesahkan kematian mangsa.

"Bedah siasat akan dilakukan di HTAA Kuantan pada Ahad ini setelah keputusan ujian saringan Covid-19 diperolehi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Zaiham, susulan penemuan mayat tersebut, dua lelaki warga asing berusia 24 dan 36 tahun ditahan untuk siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek pertama sering berhubung dengan si mati sebelum kejadian berlaku.

"Suspek pertama ditahan di sebuah stesen minyak, manakala suspek kedua yang dipercayai ada kaitan dengan kes ini ditahan di sebuah lokasi berdekatan dengan tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, suspek pertama direman selama tujuh hari, manakala suspek kedua direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong iaitu Asisten Superintendan Md Yusof Ahmad di talian 013-9760019 atau Pusat Kawalan IPD Bentong di talian 09-2331999," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!