Khutbah Jumaat di Selangor fokus bahaya budaya fitnah

Khutbah Jumaat di Selangor pada Jumaat menyentuh tentang bahaya fitnah kepada individu, masyarakat dan negara.
Khutbah Jumaat di Selangor pada Jumaat menyentuh tentang bahaya fitnah kepada individu, masyarakat dan negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Perseteruan dalam kalangan pemimpin yang menggunakan senjata fitnah akan menjerumuskan negeri dan negara ke lembah kemusnahan.

Di Selangor, pengisian khutbah Jumaat menyentuh mengenai bahaya fitnah adu domba yang boleh menghancurkan harapan rakyat kepada pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh ikutan untuk mengharmonikan antara satu sama lain dan mentadbir negara dengan baik.

Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu menyatakan fitnah amat bahaya dan mesti dihindar kerana ucapan dan tulisannya boleh melahirkan sangkaan dan persepsi salah, membawa kebencian, persengketaan sesama sendiri serta mencetuskan permusuhan.

Menurut teks itu, fitnah akan membunuh karakter dan menyebabkan kehinaan kepada seseorang.

“Pembuat fitnah bukannya bimbang dengan kegagalan seseorang tapi sangat takut dengan kejayaan orang lain.

“Justeru permusuhan dan pembunuhan karakter ini pula bakal menjadi sebab musnahnya kerukunan bermasyarakat dan bernegara," katanya.

Dalam pada itu, teks khutbah Jumaat juga memaklumkan bahawa penyebaran fitnah dilihat semakin meliar dengan adanya media sosial yang mempercepatkan proses penyampaiannya.

Ujarnya, ada pihak yang menyebarkan fitnah atas nama kebebasan bersuara tanpa diselidiki dan tidak memikirkan kesan buruknya.

Artikel Berkaitan:

“Umat Islam dilarang menyebarkan fitnah kerana boleh menimbulkan perpecahan dan perbalahan.

“Umat Islam hendaklah berwaspada dengan sentiasa menyelidik setiap sebaran berita yang diterima untuk mengelakkan tersebarnya gejala fitnah yang sangat bahaya.

“Ingatlah bahawa pemfitnah adalah orang yang bankrap di hadapan ALLAH SWT kerana tuntutan orang yang difitnah,” katanya.

Sementara itu, teks khutbah Jumaat turut mengingatkan umat Islam supaya tidak membuat tohmahan, memfitnah atau menyalahkan pihak-pihak yang sedang berusaha keras menghadapi keadaan pandemik Covid-19 ini.

Menurutnya, statistik kes Covid-19 di Selangor yang tinggi memerlukan kepatuhan terhadap ketetapan prosedur operasi standard (SOP) utama dan SOP JAIS dalam mencegah penularan serta kawalan kendiri masing-masing dalam situasi yang sukar ini.

“Tingkatkan keyakinan kepada ALLAH SWT, mengesakan-Nya dan menyucikan-Nya serta bertaubatlah.

“Renungkanlah kesalahan lalu masing-masing sehingga ALLAH SWT menghantar bala dan musibah ini,” katanya.