Kontraktor bantu bina penempatan sementara anjing, kucing

Laporan Sinar Harian Online pada 29 Januari lalu. Gambar kecil: Datuk Zaid Ahmad
Laporan Sinar Harian Online pada 29 Januari lalu. Gambar kecil: Datuk Zaid Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Pusat pemeliharaan anjing dan kucing Pak Mie Shelter yang diarahkan berpindah pada 28 Januari lalu akan dipindahkan ke penempatan sementara di Jeragan di atas tanah milik Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam satu mesyuarat membabitkan pihaknya, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah dan wakil Pak Mie Shelter, Badrul Hisham Ramlee.

Menurutnya, pusat pemeliharaan tersebut yang berada di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini menerima tanggungjawab sosial korporat daripada kontraktor Jabatan Perkhidmatan Pembetungan iaitu Syarikat UCM Construction Sdn Bhd yang akan membina papan dendeng (hoarding) dan lantai simen di tapak sementara terbabit.

"Kerja-kerja pembinaan tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini akan bermula pada 15 Februari dan dijangka siap pada 17 Februari.

"Skop dan spesifikasi tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini akan dibuat berdasarkan pandangan dan ulasan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zaid berkata, MBAS dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar memperuntukkan tempoh dua hari bagi kerja-kerja perpindahan anjing dan kucing ke tapak sementara bermula 18 Februari hingga 19 Februari.

Ulasnya lagi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan memberi suntikan rabies ke atas setiap ekor anjing yang dipindahkan dan kos suntikan ini ditanggung sepenuhnya oleh MBAS.

"Dengan perpindahan anjing dan kucing ini ke tapak sementara yang telah disediakan oleh MBAS maka semua haiwan ini adalah hak milik MBAS sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, Pak Mie Shelter diberikan hak untuk mengurus tadbir tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini selama tempoh enam bulan bermula pada 15 Februari hingga 14 Ogos,"katanya.

Tambah beliau, suatu ikatan perjanjian pengurusan akan ditandatangani antara MBAS dan Pak Mie Shelter berkaitan perkara terbabit.

"Orang ramai yang berminat untuk membela mana-mana anjing dan kucing yang berada di tapak sementara di Jeragan adalah dialu-alukan.

"Sebarang pertanyaan boleh hubungi Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Halim Md. Akhir menerusi talian 04-7323952," katanya.

Pada 29 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter yang menguruskan hampir 400 ekor anjing dan 180 ekor kucing di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini pening memikirkan lokasi baharu apabila diarahkan berpindah oleh MBAS.

ARTIKEL BERKAITAN: Pening fikir kediaman baharu 400 anjing, 180 kucing