Pura-pura jadi pelanggan sebelum samun

Kedai serbaneka di Taman Malim Jaya disamun lelaki bersenjatakan parang, awal pagi Khamis.
Kedai serbaneka di Taman Malim Jaya disamun lelaki bersenjatakan parang, awal pagi Khamis.
A
A
A

MELAKA - Polis memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjatakan parang di sebuah kedai serbaneka di Taman Malim Jaya pagi, di sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 6.35 pagi dan segera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian seorang pekerja wanita berusia 30 tahun berada dalam premis itu dan didatangi seorang suspek lelaki memakai pelitup muka yang berpura-pura sebagai pelanggan sebelum tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang panjang berukuran kira-kira 0.6 meter.

Katanya, suspek mengacukan senjata berkenaan ke arah mangsa sambil mengarahkan wanita itu membuka peti simpanan wang tunai lalu melarikan wang tunai sebanyak RM89.95.

"Siasatan awal mendapati suspek dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an itu turut melarikan beberapa kotak rokok pelbagai jenis di rak pameran rokok dan di atas kaunter.

"Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih dipandu seorang rakan yang menunggu dalam kenderaan terbabit, " katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambahnya mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan segera menghubungi pihak polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Assyukri Saini di talian 017-3827573," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

ends#