Kontroversi ijazah: Isu kelayakan akademik jadi sejarah pahit politik negara

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Isu kelayakan akademik melibatkan beberapa pemimpin kerajaan yang menjadi polemik dalam kalangan rakyat sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai pengajaran yang pahit dalam sejarah pentadbiran negara.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemimpin terpalit dengan isu berkenaan perlu tampil memberikan kenyataan bagi menunjukkan kejujuran mereka seperti dilaungkan kerajaan PH yang mahu membawa kepimpinan berintegriti.

“Isu ini menjadi satu pengajaran yang pahit dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Malaysia apabila kelayakan mereka yang berkedudukan tinggi di peringkat Pusat dan negeri dipertikaikan.

“Setiap pemimpin perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka tulis atau katakan dalam biodata diri mereka. Mereka perlu jujur ketika memberikan latar belakang pendidikan mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu kelayakan akademik melibatkan beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Antara pemimpin PH lain yang turut terpalit dengan kontroversi tersebut termasuklah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada natizen yang membela dirinya apabila isu pendidikan beberapa pemimpin kerajaan pada masa kini terus hangat diperkatakan.

“Dulu sewaktu kerajaan BN, mereka 'troll' benda yang buruk sekarang 'troll' mereka lebih kepada membela saya. Terima kasih. Tidak menjadi hal, saya sudah biasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, dahulu dirinya pernah menjadi bahan sindirian ketika menjawat Timbalan Menteri Kewangan sewaktu kerajaan BN memerintah negara.

"Mereka yang memperlekeh saya ketika itu tidak mengetahui latar belakang pendidikan saya yang bermula di Sekolah Sains Johor pada tahun 1979 hingga 1983," katanya.

Menurutnya, sekiranya beliau ‘bodoh’ tidak mungkin mendapat purata nilai gred kumulatif atau CGPA 3.83 ketika mengikuti Ijazah Sarjana Pentadbiran dan Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari tahun 2001 hingga 2003.

“Sebelum di UKM, saya juga mengikuti Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Politik di Rosehill Collage, Auckland, New Zealand dari 1984 hingga 1985 serta mengikuti Ijazah Sarjana Pentadbiran dan Perniagaan di Victoria, New Zealand pada tahun 1986 hingga 1988.

“Sebab itu apabila saya berhujah mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) semua orang perli dan memperlekeh saya tetapi sebenarnya saya sudah belajar mengenai GST sejak tahun 1986 dulu,” katanya.