SPRM sedia siasat pendedahan Salahuddin Ayub

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menyiasat pendedahan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berhubung isu pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah.

Tawaran tersebut dakwanya diterima daripada syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging ketika menjadi menteri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, sewajarnya beliau tampil membuat aduan kepada SPRM sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku.

"SPRM juga bersedia menyiasat pendedahan tersebut.

"Sekiranya pendedahan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub bahawa beliau pernah menerima tawaran percutian mewah daripada syarikat pengimport daging ketika menjadi menteri itu benar-benar berlaku, sewajarnya beliau tampil membuat aduan kepada SPRM," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendedahkan beliau pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah daripada syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging ketika menjadi menteri.

Memetik laporan New Straits Times pada Selasa, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, tawaran tersebut diberikan ketika beliau mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Salahuddin berkata, beliau mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjumpaan yang sepatutnya menjadi sesi perkenalan antara menteri dan juga pemain industri itu apabila ditawarkan dengan pakej percutian yang digambarkan sebagai ‘kunjungan hormat’.

Artikel Berkaitan:

“Mereka menawarkan pakej percutian mewah kepada saya dan keluarga. Perjalanan berbayar untuk Eropah tetapi saya terpaksa menolak,” katanya.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, beliau tidak membuat sebarang laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana tidak jelas dengan maksud sebenar tawaran tersebut dan syarikat berkenaan juga tidak meminta apa-apa sebagai balasan.