Ah long simbah cat, ugut bakar restoran

Azizan (dua dari kiri) dan Syed Othman (kiri) menunjukkan salinan laporan polis pihaknya terima ugutan ah long di pekarangan restorannya di Jalan Susur Masai Lama 1, Pusat Perniagaan Sri Saujana, Taman Saujana, Johor Bahru pada Rabu.
Azizan (dua dari kiri) dan Syed Othman (kiri) menunjukkan salinan laporan polis pihaknya terima ugutan ah long di pekarangan restorannya di Jalan Susur Masai Lama 1, Pusat Perniagaan Sri Saujana, Taman Saujana, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik restoran masakan panas berasa terkejut dan tertekan dengan tindakan ah long menyimbah cat serta mengugut membakar kedainya di Jalan Susur Masai Lama 1, Pusat Perniagaan Sri Saujana, Taman Saujana di sini pada Selasa.

Pemiliknya, Azizan Inche Harun, 38, berkata, tindakan agresif itu dilakukan ah long bagi memaksanya membayar hutang pinjaman dibuat bekas pekerjanya.

Beliau mengakui tidak pernah berurusan dengan mana-mana ah long sejak membuka restorannya pada 2015 berkata, bekas pekerjanya itu yang juga kawan sekampungnya di Kampung Panchor, Gunung Bachok, Kelantan telah menggunakan nombor telefon dan alamat restorannya ketika membuat pinjaman tanpa pengetahuannya.

"Semasa proses pinjaman itu ah long berkenaan tidak pernah membuat pengesahan dengan saya sama ada pekerja saya itu betul bekerja dengan saya.

"Dia meminjam dengan enam ah long berjumlah lebih RM10,000 tanpa pengetahuan saya dan mula bekerja pada September tahun lalu namun berhenti kerja tanpa sebarang notis pada 15 Disember tahun lalu," katanya ketika ditemui pemberita di restorannya pada Rabu.

Keadaan restoran milik Azizan yang disimbah cat merah.
Keadaan restoran milik Azizan yang disimbah cat merah.

Beliau bagaimanapun telah membuat dua laporan di Balai Polis Johor Jaya pada 16 Januari dan 9 Februari lalu

Mengulas lanjut, Azizan yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Sinar Harian selama 10 tahun bermula 2008 berkata, ugutan yang diterima bukan sahaja restorannya dibaling dengan cat merah tetapi juga menerusi notis ditampal di pintu kedai dan pesanan suara menerusi WhatsApp.

Artikel Berkaitan:

Ugutan terbaharu katanya, diterimanya daripada seorang ah long pada malam Selasa yang memaksanya membayar hutang pinjaman bekas pekerjanya itu berjumlah RM5,000.

"Saya minta along supaya cari bekas pekerja saya itu di kampung sebab dia yang pinjam, bukan saya. Alamat dalam kad pengenalan pun ah long ada pegang tetapi tetap ugut mahu bakar restoran saya sekiranya tidak bayar hutang terbabit sebanyak RM5,000.

"Sebelum ini, bekas pekerja saya ambil alamat dan gambar restoran saya sebelum memberikannya kepada ah long sebagai bukti dia bekerja di sini.

"Selepas dia tidak bekerja lagi dengan saya, dia terus membuat pinjaman di kampung dan melakukan perkara sama, menggunakan nombor telefon dan alamat restoran ini untuk meminjam.

"Sejujurnya saya rasa sangat tertekan kerana dengan keadaan sekarang, perniagaan kurang sambutan ditambah dengan masalah ah long yang saya tidak pinjam pun wang mereka," katanya.

Beliau turut memberitahu berasa takut untuk berniaga berikutan bimbang dengan keselamatan anak kecilnya serta pekerja lain.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah meminta pihak polis segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap ah long itu sebelum kejadian bertambah buruk.

"Ini kerana ah long tersebut bertindak seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang. Harap polis tegas dalam isu ini kerana melibatkan ugutan serius," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Keadaan restoran milik Azizan yang disimbah cat merah.
Keadaan restoran milik Azizan yang disimbah cat merah.