Sultan Perak perkenan tambah jemaah solat Jumaat, fardu

Sultan Nazri - Foto Fail Bernama
Sultan Nazri - Foto Fail Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menambah bilangan jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah di seluruh masjid serta surau di Perak kepada 120 orang bermula esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, keputusan itu dibuat selepas perkembangan sejak dua sesi solat Jumaat yang lalu dipersembahkan kepada baginda.

Katanya, bagi Masjid Negeri Perak iaitu Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh; Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar dan masjid-masjid utama di daerah-daerah pula dibenarkan menerima had maksimum 250 orang jemaah tidak termasuk ahli jawatankuasa kariah.

"Masjid dan surau yang terletak dalam kawasan kem tentera dan polis turut dibenarkan menerima maksimum 250 orang jemaah, seboleh-bolehnya diutamakan dan dibatasi kepada anggota yang tinggal dalam kawasan kem berkaitan.

"Masjid dan surau yang terletak dalam kampus universiti, maktab, kolej dan politeknik juga dibenarkan menerima maksimum 250 orang jemaah. Seboleh-bolehnya diutamakan dan dibatasi kepada warga kampus," katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.

Menurutnya, ketetapan tersebut terpakai dan berkuat kuasa 10 Februari 2021 sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu.

Pada 27 Januari lalu, Sultan Nazrin memperkenan semua masjid dan surau di Perak dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat termasuk surau di dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang-kilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah jemaah seramai 40 orang.

Mengulas lanjut Mohd Annuar berkata, aktiviti agama seperti kuliah dibenarkan diadakan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu solat Isyak.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kuliah ilmu tidak melebihi 20 minit turut dibenarkan untuk dianjurkan kepada jemaah yang berada dalam surau dan masjid sementara menanti azan solat Jumaat namun sebarang acara jamuan tidak dibenarkan.

Mohd Annuar berkata, bagaimanapun semua aktiviti agama termasuk mendirikan solat Jumaat dan solat jemaah tidak dibenarkan di masjid dan surau dalam kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

"Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah ALLAH dan beribadah secara berjemaah.

"Dalam memenuhi hasrat tersebut, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan para jemaah serta menimbangkan tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas Kementerian Kesihatan menangani wabak Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan lengkap kepada semua ahli jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, selain bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat di masjid, surau seluruh Perak