Sindiket judi lumba kuda tumpas

Azhan (tengah) menunjukkan komputer riba yang digunakan untuk aktiviti perjudian.
Azhan (tengah) menunjukkan komputer riba yang digunakan untuk aktiviti perjudian.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis daerah ini berjaya menumpaskan kegiatan perjudian lumba kuda haram secara atas talian dalam satu serbuan di sebuah premis rumah kedai di Taman Pantai, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.45 petang yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat itu, 14 lelaki dan seorang wanita warganegara Myanmar telah ditahan.

"Turut ditahan ialah seorang peniaga yang dipercayai penganjur aktiviti haram tersebut dan dalam serbuan ini, kami telah merampas dua komputer riba, dua modem Wifi, beberapa keratan akhbar dan catatan berkaitan pertaruhan judi lumba kuda ini dan wang tunai sebanyak RM22,497.

"Kesemua 15 tangkapan yang berumur di antara 47 hingga 62 tahun ini telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi tadi (semalam) untuk permohonan tahanan reman dan telah mendapat reman selama dua hari," katanya sewaktu sidang media di IPD Batu Pahat, semalam.

Menurutnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) akta yang sama dan sewaktu serbuan, kesemua pemain sedang mengikuti perjudian lumba kuda yang sedang berlangsung di Pulau Pinang dan Hong Kong.

Katanya, IPD Batu Pahat juga sentiasa serius dalam usaha menangani segala bentuk kegiatan perjudian di daerah ini dan usaha pembasmian perjudian secara konsisten akan berterusan bagi memastikan sifar perjudian di daerah ini.

"Saya menyarankan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perjudian di daerah ini supaya menyalurkan maklumat kepada Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat di talian 074343999 atau balai polis yang berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan: