Pasaran hartanah dijangka turun

Pembeli rumah menjangkakan pasaran hartanah akan terus turun kerana pemaju mengubah suai strategi harga dengan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik. Gambar hiasan
Pembeli rumah menjangkakan pasaran hartanah akan terus turun kerana pemaju mengubah suai strategi harga dengan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pembeli rumah menjangkakan pasaran hartanah akan terus turun kerana pemaju mengubah suai strategi harga dengan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, lebih 50 peratus projek baharu yang dilancarkan pada Q3 2020 bernilai bawah RM300,000.

“Pemilik hartanah yang terdesak akan mengurangkan harga permintaan dan menyebabkan trend harga hartanah dalam pasaran sekunder mendatar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Sheldon berkata, dalam usaha memulihkan ekonomi negara, kerajaan telah membentangkan belanjawan terbesar sebanyak RM322.5 bilion bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

Katanya, walaupun wujud kesukaran jangka pendek, namun ekonomi Malaysia dipercayai mula pulih dan sektor hartanah kembali meningkat selepas program vaksinasi secara meluas mula dilaksanakan.

“Pasaran hartanah diramalkan kembali pulih perlahan-lahan pada 2021, dipacu oleh gambaran ekonomi lebih baik dan persekitaran kadar faedah terendah pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Ini digambarkan dalam keputusan terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus, ketika bank pusat melihat berlaku pemulihan dalam ekonomi global," katanya.

Dalam pada itu, Sheldon menjangkakan peningkatan jualan pasaran hartanah akan berlaku pada separuh pertama 2021 kerana Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan tamat pada 31 Mei 2021.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, PropertyGuru telah mengeluarkan kajian soal selidik secara dalam talian berkaitan hartanah dan isu hartanah yang melibatkan 1,036 responden.