Terengganu benar solat jemaah di masjid, surau

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat berjemaah bergantung kepada keluasan masjid dan surau.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat berjemaah bergantung kepada keluasan masjid dan surau.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat berjemaah bergantung kepada keluasan masjid dan surau.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan Jabatan Kesihatan Terengganu.

"Baginda Sultan sentiasa mengikuti perkembangan kes Covid-19 dan memahami hasrat dan keperluan umat Islam untuk melaksanakan aktiviti ibadah di masjid serta surau terutama solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah.

"Keputusan ini juga diambil selaras dengan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 5 hingga 18 Februari," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti kuliah harian termasuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, Osman menegaskan semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berada di masjid dan surau.

Katanya, antara SOP ditetapkan ialah para jemaah perlu membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka serta pendingin hawa tidak dibenarkan dipasang sepanjang ibadat solat.

"Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas dan ruang wuduk tiga kali seminggu serta bertanggungjawab penuh memastikan pematuhan SOP oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana jawatankuasa masjid yang gagal mematuhi SOP dan arahan ditetapkan, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) boleh mengambil tindakan menutup masjid dan surau berkenaan," katanya.