Vaksin: Malaysia perlu tempoh setahun capai imuniti kelompok

Negara dijangka memerlukan tempoh setahun untuk mencapai imuniti kelompok bagi vaksinasi penyakit bawaan virus Covid-19 melalui Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang menjadi program vaksinasi terbesar di Malaysia.
Negara dijangka memerlukan tempoh setahun untuk mencapai imuniti kelompok bagi vaksinasi penyakit bawaan virus Covid-19 melalui Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang menjadi program vaksinasi terbesar di Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negara dijangka memerlukan tempoh setahun untuk mencapai imuniti kelompok bagi vaksinasi penyakit bawaan virus Covid-19 melalui Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang menjadi program vaksinasi terbesar di Malaysia.

Saintis Ts Dr Ummirul Mukmimin Kahar daripada Institut Genom Malaysia, Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) berkata, untuk mencapai imuniti kelompok, 80 peratus rakyat perlu disuntik dengan vaksin Covid-19.

Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 daripada Pfizer-BioNTech pada penghujung Februari dengan petugas barisan hadapan menjadi penerima awal vaksin itu.

"Selepas itu, Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 akan bermula menjadikan ia satu program vaksinasi terbesar di Malaysia. Pemberian vaksin akan dilaksanakan menerusi tiga fasa dan akan berjalan hingga Februari 2022," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas melalui aplikasi Zoom di sini pada Isnin.

Ts Dr Ummirul Mukminin berkata, suntikan vaksin boleh diambil di 600 pusat pemberian vaksin yang akan dibuka di seluruh negara di bawah seliaan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hospital, dan universiti.

Selain Pfizer-BioNTECH, setakat ini terdapat beberapa jenis vaksin Covid-19 yang telah dikenal pasti oleh KKM menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu vaksin keluaran Astra Zeneca-Oxford, Sinovac Biotech, dan Gamaleya Research Institute.

Dalam pada itu beliau berkata, adalah amat penting untuk negara mencapai imuniti kelompok kerana ia bukan hanya melindungi diri mereka yang divaksin, tetapi juga orang di sekitar mereka.

"Imuniti kelompok bermaksud jangkitan bawaan virus sebenar tidak akan dapat menjangkiti suatu kelompok masyarakat memandangkan sebahagian besar anggota masyarakat itu mempunyai kekuatan (memori pertahanan) untuk melawan virus sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini adalah penting bagi melindungi golongan yang berisiko (golongan yang mudah dijangkiti penyakit) seperti kanak-kanak, orang tua, dan penghidap penyakit kronik (barah atau HIV)," katanya.

Ia juga bertepatan dengan aspirasi Pelan Imunisasi Kebangsaan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) iaitu Lindung Diri, Lindung Semua yang mana proses vaksinasi di Malaysia bermatlamat memberi manfaat kepada semua rakyat. - Bernama