Sentuhan tradisional rambut menawan

Rawatan menggunakan bahan semula jadi sudah pasti selamat. Namun kenapa ramai tidak memilih rawatan ini?

Rambut perlu diurut selepas proses steam
Rambut perlu diurut selepas proses steam
A
A
A

PENULIS masih terbayang tentang perilaku seorang teman yang sanggup berhabis lebih RM200 hanya untuk membeli sebotol syampu. Sedangkan, pada masa sama, ibunya yang berusia 58 tahun hanya menggunakan minyak kelapa dara untuk menjaga rambutnya. Bukan mahu mengkritik, tetapi jujur penulis katakan, rambutnya ibunya jauh lebih bersinar dan sihat daripadanya.

Menurut seorang pakar perubatan, Dr Salmiah Shariff, secara saintifiknya, manusia dianugerahkan lebih kurang 100,000 helai rambut di atas kulit kepala dengan setiap hari, lebih kurang 100 helai rambut akan gugur dan digantikan dengan rambut yang baharu.

Rambut katanya menerusi portal MyHealth: "Setiap helai rambut pula terdiri daripada tiga lapisan keratin yang mana lapisan luar (kutikel) berfungsi untuk melindungi dua lapisan dalam," jelasnya.

Tradisional

Melihat kepada penerangan itu, sudah terang lagi bersuluh tentang peri pentingnya menjaga rambut.

Jadi, apa yang pilihan kita? Memilih rawatan moden atau menggunakan pendekatan tradisional?

Kepada WOW Femina, pakar estetik, Gurjit Kaur berkata, beliau lebih yakin tentang keberkesanan rawatan rambut menggunakan bahan semula jadi.

"Kalau kita lihat nenek moyang kita, mereka menggunakan bahan itu (semula jadi) sahaja. Jarang sangat kita dengar mereka merungut tentang masalah rambut rosak, bukan? Rambut mereka lebat dan lambat beruban," katanya.

Bagaimanapun, Gurjit berkata, untuk mendapatkan rambut yang cantik, sihat dan beralun lembut dengan kaedah turun-temurun memerlukan sedikit usaha.

"Elemen tradisional sebenarnya penawar kepada penggunaan bahan kimia di dalam sesuatu produk rawatan rambut. Percaya atau tak, bila anda kembali menggunakannya (bahan semula jadi), ia boleh menyihatkan kembali rambut yang gugur dan rosak," ujarnya.

Kebaikan

Apakah contoh bahan tradisional yang bagus untuk rambut? Gurjit yang juga merupakan pemilik Simran Beyon Beauty berkata, bahan semula jadi itu merujuk kepada rempah-ratus, bunga, daun, buah-buahan, cold pressed, minyak zaitun dan minyak essential.

"Ramuan itulah saya gunakan untuk merawat masalah rambut dalam kalangan pelanggan. Semua bahan itu akan dikisar sehingga menjadi smoothie.

"Smoothie itu kemudian akan disapu pada kepala sambil diurut. Urutan akan dilakukan pada kepala, leher, bahu, tangan dan bahagian atas belakang untuk melancarkan peredaran darah supaya herba dapat menyerap dengan baik. Kemudian, rambut akan distim,” katanya.

Pun demikian, Gurjit mengakui tidak ramai wanita cenderung teknik tradisional.

"Salah satu sebab kenapa masyarakat lebih bertumpu kepada rawatan moden kerana semua orang ingin lihat hasilnya serta-merta," katanya.

Senada dengan Gurjit ialah Pensyarah Fizik UiTM, Prof Azni Zain Ahmed.

Ujar Azni, penggunaan bahan semula jadi termasuk organik lebih selamat dan sudah pasti tidak mendatangkan kemudaratan.

Artikel Berkaitan:

"Lihat cara orang lama. Semuanya mereka buat sendiri dengan menggunakan unsur alam sekitar. Sebagai contohnya daun aloe vera, minyak zaitun dan minyak kelapa dara, ia sebahagian daripada alam kita. Ada bahan semula jadi ini merupakan makanan sunnah dan sudah pasti ia baik untuk kita," ujarnya.

SUKAR untuk menidakkan tentang bahana penggunaan kimia berlebihan pada produk rawatan rambut di pasaran.

Pakar estetik, Gurjit Kaur berkata, pengguna perlu berwaspada dengan kandungan SLS (sodium lauratte sulfate) yang lazimnya mengeluarkan banyak buih.

"Bahan ini bukan sahaja membersihkan rambut tetapi menanggalkan kesemua minyak pada kepala dan rambut. Ini menyebabkan rambut menjadi rosak, kering dan frizzy," katanya.

Seperkara, sesetengah produk terkandung bahan kimia berupa paraben yang digunakan dengan tujuan supaya bakteria tidak cepat membiak.

"Sebenarnya ia (paraben) ini bahaya kerana boleh menyebabkan kanser payudara," katanya.

Selain itu, ujar beliau, kandungan sodium chloride and polythene glycol (yang mana sodium merupakan sejenis garam) boleh mengakibatkan kulit kepala kering atau gatal sekali gus mengundang masalah keguguran rambut," katanya.

Justeru, Gurjit berkata, pengguna perlu sedar, tidak semua bahan yang digunakan dalam sesuatu produk itu disenaraikan pada label.

"Kenapa? pengusaha mahu mengelak produknya ditiru. Untuk itu, tidak mustahil ramai tidak menyatakan warna dan wangian yang digunakan. Sedangkan bahan itu menjadi salah satu punca kesakitan reproduktif, kanser, asma dan sebagainya,” terang Gurjit.

Sementara itu, Pensyarah Fizik UiTM, Prof Azni Zain Ahmed bercerita tentang zinc pyrithione yang digunakan dalam syampu antikelumumur. "Memang berkesan tetapi ia membuatkan kulit kepala kering dan akan memberi kesan jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, nasihat beliau: "Guna sahaja bahan semula jadi yang mudah didapati di sekeliling kita. Jika tidak, apa kata pilih bahan organik. Buat sendiri di rumah lebih murah tapi semua itu perlu ada pengetahuan dan perlu belajar daripada sumber bertauliah."